Selepas majlis Cabutan Undi PPR Tehel dan Krubong tempohari aku mengikuti kursus HRMIS di Inkubator K-Ekonomi, Melaka. Tapi hanya sempat sehari sebab lepas tu kena ikuti pula kursus Inovasi dan Pemikiran Kreatif.

Kursus ini diadakan pada 9 dan 10 Februari 2017 di Puteri Resort, Ayer Keroh Melaka. Memang antara lokasi yang sering dilakukan kursus oleh Jabatanku. Cuma agak menyedihkan bila Jabatanku tak mampu untuk membayar tambahan sewaan projektor kerana agak mahal. Jadi kenalah aku yang menjaga projektor jabatan membawa barang-barang ICT seperti laptop, projektor, laser pointer dan layar putih ke sana. Nasib baik ada kenderaan Jabatan untuk digunakan sebab layar putih tu agak panjang dan menyusahkan kalau menaiki MyVi ku itu.

Kursus bermula jam 9.00 pagi dengan sedikit pengenalan oleh penceramah dari Yayasan Inovasi Malaysia, Puan Sharmilla. Penerangan mengenai fungsi YIM dan juga objektif organisasi di bawah Kerajaan Persekutuan itu.

Fokus utama yang diterapkan dalam ceramah ini adalah mengenai personaliti setiap orang. Ia dibahagikan kepada 3 kategori utama iaitu ‘Dreamer’,’Realist’ dan ‘Critics’. Aku cuba terangkan berdasarkan pemahamanku tapi kalau salah maaflah ye..

  • Dreamer – Merupakan individu/kumpulan yang mempunyai angan-angan dalam sesuatu perkara. Kelompok ini biasanya kreatif dalam memikirkan sesuatu yang baharu. Mereka ini penting dalam organisasi bagi mencorakkan sesuatu yang baharu.
  • Realist – Individu/Kelompok ini adalah mereka yang berfikir berdasarkan fakta atau penemuan. Mereka adalah kelompok yang teliti dalam sesuatu kerja.
  • Critics – Individu/Kelompok yang akan mengkritik apa yang dilakukan oleh organisasi. Kelompok ini juga penting bagi mengelakkan sasaran tidak jauh dari matlamat sebenar.

Itu merupakan antara focus utama yang diterjemahkan oleh penceramah. Dalam ceramah itu juga kami dibahagikan kepada 3 Kumpulan berdasarkan 3 kategori utama itu. Kami di berikan tugas untuk memberikan isu-isu yang terdapat di dalam pejabat serta kaedah penyelesaian. Untuk makluman korang, boss berada dalam kumpulanku. Jadi sedikit sebanyak sukarlah nak bagi idea yang GANAS. Agak berhati-hatilah juga.

hadiah-YIM
Dapat menang Kumpulan Terbaik.

Selain itu, penceramah juga menunjukkan beberapa video inovasi yang telah dilaksanakan serta cuba dikomersialkan. Antara yang diceritaka adalah :-

  • I-cycle – Inovasi ini dijalankan oleh MMU dimana mereka menggunakan kaedah insentif untuk memberikan kesedaran kepada penduduk dalam pembuangan sampah. Macammana caranya? Penduduk di taman/pangsapuri akan dibekalkan dengan stiker barcode dan mereka boleh menampal pada sampah kitar semula dan dibuang dalam bakul khas yang disediakan oleh pihak pembekal. Pihak pembekal (I-cycle) akan mengambil plastic sampah dengan stiker tersebut dan akan memberikan insentif berdasarkan kapasiti dan jenis sampah yang boleh dikitar semula. Untuk keterangan lanjut boleh layari laman web http://www.icycle-global.com/ . Satu inovasi yang bagus kerana mendidik dengan memberikan imbuhan mungkin lebih baik dari mendenda seperti yang ingin dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan sekarang ni. Mungkin idea ini boleh diperluaskan lagi di seluruh negara. Kalau ikutkan penerangan pembekal, Pulau Pangkor telah menggunakan konsep ini dan diberitakan telah berjaya mengurangkan pembuangan sampah.
  • Kompang X-Ray – Biasa kita tahu kompang diperbuat dari kulit binatang samada kulit kambing atau lembu. Tapi pakcik Suman bin Ahmad dari Kg Bukit Larang telah menggunakan filem X-Ray sebagai bahan untuk ditepuk oleh pemain kompang. Menarik bukan? Sebab bunyinya tetap setanding dengan bahan kulit binatang malahan lebih murah lagi. Korang tengoklah video Youtube ni
  • Saksofon Buluh – Korang tau apa menatang saksofon ni? Bagi peminat filem P Ramlee, lebih-lebih lagi filem ‘Ibu Mertuaku’ mungkin tau tentang alat muzik ni. Kalau korang tengok, ianya diperbuat dari besi. Tapi seorang pemuzik dari Sabah, Philipus Jani berjaya menggunakan idea kreatif dengan membuat saksofon dengan buluh. Korang boleh tengok temuramah beliau dengan RTM mengenai saksofon buluh.

Selain itu ada juga beberapa inovasi yang dipaparkan dimana kebanyakan adalah dibuat oleh para penduduk di luar Bandar. Memang nampak banyak inovasi yang boleh diperkenalkan untuk orang luar. Rasanya kalau aku BERDUIT, mungkin boleh jadi Investor macam Mark Cuban Shark Tank. Tapi versi Malaysia lah kan..

kursus-inovasi-YIM
Macam biasa kenalah ambil gambar bila ada Kursus

Ooo ye, menurut penceramah, ada juga inovasi yang dipatenkan dan dijadikan sebagai produk komersial. Ada juga yang masih bekerja tapi produk mereka tetap berjalan dengan bantuan YIM. Hm.. korang kalau ada inovasi nak diketengahkan bolehlah contact dengan YIM..

p/s :- Puan Sharmilla kata diorang tak pakai WordPress untuk blog sebab kononnya Google lebih sayang kat blogspot. Korang setuju ke?

Mengenai Yayasan Inovasi Malaysia (YIM)

Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) telah ditubuhkan pada Oktober 2008 dan telah dipersetujui oleh Kabinet Malaysia pada 7 November 2008. Visi utama YIM adalah untuk memperkenalkan dan memupuk kreativiti serta inovasi di kalangan rakyat Malaysia terutama kanak-kanak dan remaja, wanita, penduduk luar Bandar, orang kelainan upaya (OKU) dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Mendapat sokongan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI), YIM telah ditubuhkan oleh Kerajaan untuk mempromosikan inovasi yang akan menjadi teras kehidupan di masa hadapan.

Untuk keterangan lanjut, layari laman web YIM di http://www.yim.my/

Layankan video Korporat Yayasan Inovasi Malaysia

3 Replies to “Kursus Inovasi Dan Pemikiran Kreatif Dari Yayasan Inovasi Malaysia”

Leave a Reply to zool Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.