Minggu ini aku bersedia untuk majlis kenduri tahlil serta doa selamat untuk kesihatan bapa dan adik perempuan yang bakal melahirkan anak ketiga beliau. Majlis kenduri tersebut diadakan pada hari Sabtu lepas.
Mula-mula bapa nak minta masak sendiri tapi memandangkan kekangan kemampuan keluarga untuk melaksanakan maka gunakan catering pakcik Rahman Kesang Jaya. Kalau sesiapa rajin buat kenduri di kawasan ni mungkin tau tentang masakan beliau yang memang best.
Cuma kena buat juga masak rending Rusa yang terpaksa juga disediakan oleh bapaku. Memandangkan adik lelakiku hanya pulang pada pagi Sabtu manakala abangku pula sakit pinggang maka kerja berat terpaksalah aku lakukan pada hari Jumaat tu. Kenalah angkat mengangkat sikit tapi takpelah kena untuk membantu. Itu pun mak tolong angkat berdua benda-benda berat. Kagum bila lihat ibuku yang telah berusia 68 tahun masih gagah mengangkat barang-barang.
Daging rusa lebih kurang 10 kilogram perlu dicincang oleh kami sekeluarga. Ambil masa hampir 1 jam juga nak memotongnya apatah lagi daging tersebut telah dimasuk freezer kira-kira 4-5 jam. Memang mengengkek juga nak memotongnya. Lepas tu nak kena rebuskan dulu daging tu kira-kira ½ jam menggunakan dapur kayu. Tapi disebabkan nak cepat ada mak sedara bantu gunakan dapur gas kedai (dulu ada meniaga kedai tapi sekejap je).
Oo ye, untuk menambah sikit tekanan, bapa juga dimasukkan wad pada hari Khamis iaitu kira-kira 2 hari sebelum kenduri. Mula-mula doktor perempuan yang memeriksa bapa tidak membenarkan untuk keluar seketika tapi pada hari Sabtu, doktor lelaki membenarkan. Alhamdulillah mudah sikit urusan sebab kenduri perlu ada kepala untuk handle. Kalau bapa tak de kenalah aku mengadap tu. Aku memang bersedia tapi bila bapa ada lagi mudahlah.
Majlis kenduri bermula selepas Zohor. Makanan dari catering tiba kira-kira jam 12.00 tengahari. Alhamdulillah terdapat ramai sedara mara yang tiba untuk memeriahkan suasana. Cuma nampak agenda untuk dapat salasilah dari semua keluarga dari 3 generasi tak tercapai hendaknya. Takpelah mungkin masa raya nanti boleh dikumpulkan.
Ooo ye, aku pun tetiba datang idea nak buat satu sistem untuk salasilah keluarga. Kalau google kat internet memang ada yang omputeh punya tapi agak complicated. Kalau ada sesiapa sini yang pandai programming bolehlah kita buat sesamakan. Ni boleh jadi portfolio kalau sesiapa nak buat ni.
Habis je kenduri, pukul 5 lebih kenalah aku hantar kembali bapa ke wad untuk meneruskan rawatan beliau. Harap-harap dapat discharge pada hari Isnin nanti.
Malam tu pula kami sambut hari kelahiran anak sulungku (doakan supaya akan ada anak seterusnya) yang telah berusia 2 tahun. Memang satu anugerah yang tak ternilai bagiku. Memang macam-macam cabaran menjaga karenah anak kecil ini. Berbeza berbanding menjaga anak buahku dulu, menjaga anak sendiri lebih memerlukan tanggungjawab dan kasih sayang. Bila jadi macam ni terfikir betapa sukarnya ibubapa menjaga diriku masa lalu. Apatah lagi pada zaman dahulu kehidupan lebih sukar berbanding sekarang ni. Terima kasih teramat kepada kedua ibubapa yang bersusah payah menjaga diriku sehingga aku mampu menjadi sebegini. Tanpa usaha dan penat lelah mereka mustahil untuk anda membaca nukilan aku ini.
Bersempena dengan Hari Ibu juga aku mengucapkan Selamat Hari Ibu tak terhingga kepada ibu kesayanganku Sabariah binti Hashim yang banyak menempuh dugaan membentuk diriku hingga kini. Juga tak lupa pada isteriku Siti Rahmah binti Bachee yang kini menjaga anak kami untuk menjadi seorang anak yang berjaya. Tak lupa juga kepada kesemua ibu lain yang berkorban masa dan tenaga untuk mendidik anak. Ia bukan satu tugas yang mudah kerana setiap anak banyak karenah tersendiri.
Sekian. Cukup untuk nukilan minggu ini. Selamat semuanya.
p/s: Ada sesetengah orang mempertikaikan tentang Hari Ibu yang katanya ada kaitan dengan Agama tapi aku berpendapat selagi kita tak melanggar akidah tiada masalah. Terpulang pada masing-masing.
Minggu ni pun terasa best sebab dapat satu komisyen dari klikjer.com dan berjaya setelkan roadtax walaupun tarikh matinya pada bulan Jun 2016 nanti.