Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..
Ini merupakan pengalaman pertama aku melihat anak ke sukan sekolah tahunan. Sebenarnya bukan ada perkara menarik pun tapi aku nak kongsi sikit beberapa perkara.
Anak aku ni merupakan seorang yang pendiam (lebih kurang macam bapa dia). Dia tiada kawan di sekolah (ini merisaukan). Kesempatan ke sukan ini aku melawat dia secara menyorok. Ye, memang dia keseorangan. Aku melihatnya dari jauh dan sedikit kesedihan terasa. Aku mungkin tak ingat lagi pada umurku 7 tahun lalu tapi sekurang-kurangnya aku masih tidak rasa terpinggir tapi berbeza dengan anakku ini. Dia duduk seorang diri. Meskipun di depan ada 2-3 kanak-kanak lain tapi tiada bentuk komunikasi ku lihat. Memang diakui anakku ini bukanlah tergolong dalam kanak-kanak yang tampan atau terlalu bijak. Kadarnya sederhana sahaja yang memungkinkan ianya tidak dikenalpasti oleh kanak-kanak lain tetapi melihatkan situasi ini, hatiku terusik. Adakah gen diri ini telah menyebabkan dia menjadi sebegini, Wallahualam.
Ikutkan dia memang nak suruh aku dan maknya datang untuk melihat. Dia sebenarnya terasa juga nak sertai acara larian meskipun dia bukan handal dalam sukan. Tetapi sehari sebelum itu aku telah menerima buku program yang namanya tiada dalam senarai langsung meskipun sukanneka. Cuma menyertai perbarisan awal sahaja.
Ada sekali tu aku suruh dia masuk kembali dalam khemah dan aku menyorok di belakang. Ku perhatikan yang dia tidak duduk di khemah sebaliknya berdiri tanpa arah. Sesekali matanya melirik ke belakang mencari kelibatku. Aku sekadar memerhati dari jauh sahaja. Sehinggalah dia bergerak kembali ke khemah ibubapa mencari samada aku atau emaknya.
Ketika inilah aku rasakan cukup untuk majlis ini. Apa yang aku rasakan adalah, kanak-kanak sebegini memang tidak mendapat perhatian langsung dari sesiapapun. Memang ada kerisauan sedikit dan aku perlu memperbaiki situasinya. Dia pun ada cerita dibuli oleh rakan sekelasnya.
Kaedah pertama yang kucuba adalah memasukkan dia dalam kelas Taekwando. Buat masa ni belum nampak sangat perubahan. Cuma aku harap ketika memasuki tahun 2 nanti akan ada perubahan dari segi sikap dan keberaninanya.. Wallahulam.
Terima kasih kepada korang kerana membaca ini. Sekira ada pendapat boleh tinggal di komen ye..