Uncategorized

TAK LAYAK DERMA DARAH

Kalau ikutkan, Rabu lepas aku nak pergi Lotus Bandaraya.

Bukan nak shopping pun.

Nak DERMA DARAH.

Ada iklan derma darah kat situ. Aku memang bukanlah kategori penderma darah tegar. Kalau tengok rekod dalam MySejahtera, baru 5 kali aku menderma darah.

Usia dah nak masuk 5 series, baru 5 kali.

Memang rasa macam… APA YANG AKU BUAT SELAMA NI? 😂

Kali terakhir aku cuba nak derma darah kalau tak silap pada tahun 2018. Masa tu ada program derma darah dekat taman berdekatan.

Tapi kena reject.

Sebab masa tu aku baru lebih kurang 3 bulan buat pembedahan tonsil.

Belum cukup tempoh yang ditetapkan.

Lepas daripada itu, memang tak pernah menderma darah lagi.

Rabu lepas tak jadi pergi

Sebenarnya aku dah terperasan iklan derma darah kat Lotus Bandaraya tu.

Memang ada niat nak pergi.

Tapi tak sempat.

Masa tu keadaan jerebu di Melaka agak teruk. Jadi tak terpergi pula ke sana.

Sudahnya… tak derma darah.

Hari ni tiba-tiba aku saja tanya AI tentang derma darah.

Aku tanya juga…

“Aku ni layak ke nak derma darah?”

Bila baca jawapan yang diberikan, nampaknya ada kemungkinan aku TIDAK LAYAK berdasarkan keadaan kesihatan dan ubat-ubatan yang aku ambil.

Aku pun mula cari maklumat daripada sumber rasmi.

Bila baca maklumat daripada Pusat Darah Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, barulah beberapa perkara jadi lebih jelas.

Dan nampaknya… memang ada sebab kenapa seseorang boleh ditolak daripada menderma darah. Sebabnya aku dah pakai insulin untuk rendahkan kadar gula dalam darah….

Siapa yang layak menderma darah?

Secara umum, Pusat Darah Negara menetapkan beberapa kriteria.

Antaranya:

  • Sihat tubuh badan
  • Berat badan 45kg dan ke atas
  • Tidur sekurang-kurangnya 5 jam
  • Makan dalam tempoh 4 jam sebelum menderma
  • Tidak mempunyai masalah kesihatan yang menghalang pendermaan
  • Bagi penderma baru, umur 17 hingga 60 tahun
  • Penderma tetap boleh diterima sehingga 70 tahun, dengan syarat tertentu termasuk saringan kesihatan tahunan bagi umur 61 hingga 70 tahun
  • Untuk pendermaan darah utuh, pendermaan terakhir mestilah sekurang-kurangnya 3 bulan yang lalu
  • Penderma wanita mempunyai beberapa syarat tambahan berkaitan kehamilan, penyusuan dan haid
  • Penderma juga perlu membawa dokumen pengenalan asal yang diterima.

Dan satu benda yang aku baru tahu…

Ambil ubat pun kena beritahu petugas kesihatan.

Sebab pengambilan ubat tidak semestinya automatik bermaksud seseorang terus tak boleh menderma. Pusat Darah Negara sendiri menyatakan kelayakan akan dinilai berdasarkan keadaan perubatan, dan kalau mengambil ubat, kita perlu maklumkan kepada petugas sebelum menderma.

Jadi janganlah kita buat keputusan sendiri.

Pergi dan biar petugas kesihatan yang buat saringan.

Siapa pula yang tidak boleh menderma?

Ini pun ada beberapa keadaan yang menyebabkan seseorang tidak boleh menderma atau perlu ditangguhkan.

Antaranya mereka yang mempunyai keadaan atau sejarah tertentu yang boleh menjejaskan keselamatan darah yang didermakan.

Contohnya, Pusat Darah Negara menyatakan seseorang tidak sepatutnya menderma jika diketahui atau disyaki mempunyai HIV, Hepatitis B, Hepatitis C, sifilis atau penyakit kelamin tertentu.

Ada juga kriteria berkaitan aktiviti berisiko tinggi seperti penggunaan dadah secara suntikan dan beberapa sejarah hubungan seksual berisiko.

Selain itu, ada keadaan yang menyebabkan pendermaan perlu ditangguhkan buat sementara waktu.

Contohnya selepas prosedur tertentu. Macam pengalaman aku dulu, selepas pembedahan tonsil aku kena tunggu kerana belum cukup tempoh yang ditetapkan.

Jadi bukan semua “tak boleh derma” itu bermaksud selamanya tak boleh derma.

Ada yang cuma kena tunggu.

Ada yang perlu dinilai semula.

Dan ada yang memang tidak sesuai menjadi penderma berdasarkan keadaan kesihatan tertentu.

Sedih juga bila tahu mungkin dah tak boleh

Bagi aku, derma darah ni antara bentuk derma yang mudah.

Kita datang.

Duduk.

Cucuk jarum.

Tunggu.

Darah kita tu nanti boleh digunakan untuk membantu orang lain yang memerlukan.

Pusat Darah Negara sendiri menerangkan bahawa darah diperlukan untuk pelbagai keadaan seperti pembedahan, kemalangan dan rawatan pesakit tertentu.

Sebab itu bila baca kemungkinan aku dah tak layak, sedih juga sebenarnya.

Bukan apa.

Selama ni aku fikir…

Kalau nak buat sesuatu untuk orang lain, derma darah ni antara benda yang aku masih boleh buat.

Sekarang nak buat pun mungkin dah tak boleh.

Nak buat macam mana kan…

Dah sampai keadaan macam tu.

Kalau masih layak, DERMA LAH

Jadi kepada kawan-kawan yang masih layak untuk menderma darah…

DERMA LAH.

Jangan tunggu sampai satu hari nanti baru terfikir nak derma, tapi masa tu dah tak layak pula.

Kalau ada kempen derma darah berdekatan, singgahlah.

Tak perlu tunggu jadi “penderma tegar”.

Sekali pun dah boleh membantu.

Dua kali pun membantu.

Yang penting kita menderma secara selamat dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Dan kalau anda tak pasti layak atau tidak, jangan teka sendiri.

Pergi ke pusat atau kempen derma darah dan biarkan petugas kesihatan buat saringan.

Aku pula…

Nampaknya kena terima hakikat.

5 kali je rekod derma darah sepanjang hidup.

Hahaha.

Ada sesiapa senasib dengan aku?

Atau ada yang dah sampai puluhan kali derma darah?

Kalau masih layak…

Pergilah derma darah.

Mana tahu darah kita tu nanti menjadi sebab seseorang dapat terus hidup.

Itu pun dah cukup besar nilainya.

Untuk maklumat lanjut tentang kelayakan dan pendermaan darah, boleh rujuk Pusat Darah Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.