Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..

Mungkin bulan ini merupakan tema untuk belajar bagi diri ini (artikel ini akan menukar ganti diri bagi menghormati pesanan guru…).
Awal bulan lepas, singgah di GrindShack Workspace untuk belajar mengenai Startup tapi hari Ahad yang lalu kena keluar dari negeri Melaka tercinta.
Lokasi yang perlu ditujui adalah di Akademi Minda Usahawan.
Takde lah jauh sangat, hanya sekitar 130 kilometer dari tempat bermastautin tapi jenuh juga sebab nak kena sampai awal pagi.
Satu perkara yang menarik adalah saya membawa sekali isteri untuk belajar bersama. Tak pernah lagi datang kelas berdua. Ini kali pertama.

Memandangkan kedua-dua akan melepasi sempadan Melaka maka terpakslah meninggalkan anak lelaki kesayangan di rumah emak. Selepas sahaja solat Subuh Fatih di hantar ke rumah neneknya dan kami terus menuju ke arah tempat untuk mencari ilmu.
Ilmu menulis yang ingin dicari bagi merealisasikan impian mempunyai buku sendiri. Kalau anda rajin mengintip (stalk) blog ini atau blog lama saya mungkin pernah terbaca Azam saya nak memiliki buku sendiri. Memang mengimpikan ada masterpiece yang boleh dibanggakan.
Pernah buat ebook tapi tak masuk di ruang komersial maka ianya tak dapat nak dibanggakan sangat. Bila terjumpa Bengkel Menulis Buku yang dianjurkan oleh En Muhabir Ibrahim maka ianya tak boleh dilepaskan.
Apatah lagi saya mengenali serba sedikit mantan Ketua Penolong Setiausaha bahagian Sumber Manusia di Jabatan Ketua Menteri Melaka itu.
Dengan nilai yuran kursus mampu milik peluang ini perlu digunakan untuk saya dan isteri menuju ke Bangi.
Seperti apa yang diperkatakan oleh Sifu Kewangan Robert Kiyosaki

“Kita hanya mempunyai satu kehidupan. Hidup untuk memberi inspirasi kepada orang lain”. Ayat ini merupakan pemangkin untuk berkorban masa rehat, duit dan tenaga datang ke sini. Yelah, kalau ikutkan hari Ahad mungkin masa yang lebih baik untuk rehat di rumahkan. Tapi kami ambil masa tersebut untuk belajar sesuatu yang belum tentu memberi keuntungan.

Sampai jam 7.45 pagi kami tiba di tempat letak kereta. Tiada banyak kereta lagi. Mungkin awal sampai ke destinasi. Yelah, nak belajar mesti kena datang awal barulah berkat.
Memulakan hari dengan sarapan mee goreng mamak sebelum meneruskan ke lokasi bengkel tersebut. Selesai makan, terus ke bilik tersebut. Penceramah iaitu Encik Muhabir sedang membuat persiapan.
Alhamdulillah dia menegur sapa ketika saya melangkah masuk ke tempat ilmu ini. Duduk di barisan hadapan bukanlah kebiasaan tapi nak dapat ilmu mestilah menukar mentaliti itu .Tak gitu?
Membuka laptop usang yang tidak boleh dicaj beserta keyboard dan mouse rasa sedikit janggal. Itu yang SANGGUP dimiliki (bukan tak mampu) buat masa ni. Lupakan sahaja tengok orang lain pakai laptop yang sempurna.
Kena kongsi dengan isteri kalau nak digunakan.

Berada di barisan hadapan ketika di Bengkel tersebut

Macam biasa sesi perkenalan dimulakan. Saya memberitahu sedikit sebanyak tentang sebab utama menghadirkan diri ke bengkel ini. Mempunyai buku untuk dijadikan ‘masterpiece’ merupakan matlamat utama.
Dalam perkenalan tersebut terdapat beberapa individu yang cukup hebat. Ada seorang kakak tu yang berjaya bangkit dari kegagalan hidup. Pernah menjadi seorang gelandangan tapi kini sudah berjaya dalam bidang perniagaan.
Agak pelik, beliau memiliki syarikat penerbitan sendiri tapi masih datang belajar kerana inginkan ilmu. Memang patutlah saya datang ke bengkel ini. Selain itu ada juga beberapa penulis ‘ghostwriter’ termasuk yang pernah menulis dalam laman web I Luv Islam.
Tak tau lah kalau ada antara peserta yang berminat nak menulis dalam blog Ligakampung.com. Bolehlah tambah penulis kat blog sukan tempatan tu.

Selepas sesi perkenalan dimulakan kami memulakan tugasan pertama iaitu men’terapung’kan klip dalam bekas air. Kalau ikutkan memang pernah buat aktiviti ni masa Team Building awal tahun ini.
Memang agak sukar tapi berjaya juga dibuatnya. Nak tau tekniknya? Sebenarnya kami tak guna teknik apa pun. Tiada barang tambahan cuma nak kena fokus masa letak klip tu.

Lepas tu masuk pula ke graf kehidupan untuk melihat kembali masa lampau. Pada waktu gembira dan duka dicatatkan dalam helaian kertas. Memang agak sukar untuk mengingati kisah lampau apatah lagi hidup saya ni agak biasa-biasa je. Takde sejarah yang mengujakan sangat tapi tetap dicatat juga.

Menulis tentang graf kehidupan di masa lalu

Selepas itu, Tuan Muhabir memberikan sedikit sebanyak sebab aktiviti ini dilakukan. Ianya adalah penting kerana disinilah bermulanya perjalanan untuk menulis buku motivasi.
Buku motivasi adalah perkara sebenar yang terjadi pada diri sendiri. Berbeza dengan buku novel , buku motivasi merupakan perkara sebenar yang terjadi dan telah dibuktikan.

Kemudian, aktiviti ketiga mengenai format yang perlu ada dalam buku motivasi. Format bercerita memerlukan ada elemen penting iaitu Hero, Musuh, Konflik, Penyelesaian Terbaik dan Elemen Kejutan. Apa benda tu? Nak terangkan lebih lanjut tak pandai, jadi kalau anda berminat bolehlah ikut Facebook Tuan Muhabir untuk Bengkel seterusnya.
Secara jujurnya, saya tidak pernah menggunakan kelima-lima elemen ini dalam menulis. Sememangnya 5 elemen ini juga boleh digunapakai untuk menulis blog. Mungkin juga dalam artikel kali ini mempunyai elemen-elemen tersebut.
Bila bercerita tentang buku motivasi, kena tahu siapa pembacanya. Kalau tidak mungkin tak sampai ke sasaran yang dituju. Berdasarkan kajian Tuan Muhabir, sifat pembaca buku motivasi lebih kepada ingin menjadi lebih baik serta bercita-cita tinggi (ada beberapa poin lain, tapi tak perlu cerita semua).

Tugasan seterusnya adalah memilih judul buku. Ia sesuatu yang sukar kerana saya masih tercari-cari topik yang sesuai untuk dijadikan motivasi. Selepas berfikir beberapa detik saya mengambil keputusan untuk menulis kembali tajuk berkenaan hal membeli rumah.
Walaupun pada satu masa dahulu saya pernah merasakan ianya tidak sesuai tetapi bila hadir ke bengkel ini, ia perlu diteruskan. Sememangnya banyak buku-buku mengenai beli rumah di luar sana tapi mungkin kurang dari perspektif mereka yang berada dalam lapangan perumahan itu sendiri.
Kalau diluar sana, mungkin buku dihasilkan oleh pelabur seperti Azizi Ali sebaliknya saya ingin memotivasikan golongan muda untuk memiliki rumah pertama.

Prospek berbeza dan pengalaman pun berbeza. Jadi ia perlu diteruskan dengan cara terbaharu berdasarkan pelajaran dalam bengkel motivasi ini.
Sehingga kini, tajuk masih belum dapat diputuskan tapi jalan masih ada. Inshallah perlahan-perlahan akan jumpa juga tajuk yang sesuai. Kalau anda ada idea boleh juga kongsikan.
Kemudian tugasan menulis tajuk dalam setiap BAB. Menariknya Tuan Muhabir memberikan perkataan yang perlu dijadikan tajuk bab. Memang sukar untuk dibuat tapi dicuba juga.
Pastinya akan berlaku kegagalan dalam mencari tajuk yang kena dengan isinya. Seperti kata Mark Cuban (jutawan dan pelabur dalam rancangan Shark Tank)

“Tidak penting berapa kali kita gagal, anda hanya perlu betul sekali sahaja”.

Proses mencuba memang memerlukan kita gagal sebelum akhirnya sesuatu yang tepat tiba. Tuan Muhabir juga memberikan template serta beberapa tips dari segi patah perkataan serta tempoh untuk menyiapkan satu buku.
Alhamdulillah mungkin hanya 20 atau 30 peratus sahaja yang saya dapat tangkap tapi itu penting. Sekarang adalah masa bertindak untuk meneruskan impian dalam memiliki masterpiece sendiri.

Sebelum pulang kami sempat bergambar beramai-ramai sebagai tanda kenangan mengikuti bengkel ini.

Bergambar bersama-sama selepas selesai Bengkel Menulis Buku Motivasi

Sempat juga membeli buku karya Tuan Muhabir. Buku bertajuk ‘Nota Pewaris Jutawan‘dan ‘Jika Saya Tidak Ke Universiti‘ (saya pernah diberikan manuskrip buku ini sebagai testimonial sebelum ini. Mungkin Tuan Muhabir pun dah lupa.) menjadi buah tangan untuk diri ini.
Bagi sesiapa yang nak baca buku karya Tuan Muhabir boleh menghubungi beliau atau dapatkan Ebook di Portal Esentral. Inshallah banyak manfaatnya.

Semoga impian saya dan rakan-rakan yang menghadiri bengkel ini akan tercapai jua. AMIN.

One Reply to “Mari Belajar Menulis : Menghadiri Bengkel Menulis Buku Motivasi”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.