Assalamualaikum dan salam sejahtera semua
Agak keletihan sikit pada hari ini. Almaklumlah terpaksa membuat persiapan untuk majlis rumah terbuka dimana pada hari Sabtu lalu bapa saya mengadakan majlisnya manakala saya pada hari Ahadnya.
Majlis rumah terbuka saya diadakan buat kali pertama ini dibuat secara kecil-kecilan dimana hanya jiran terdekat serta rakan pejabat sahaja dijemput. Alhamdulillah sambutan agak menggalakkan terutama dari rakan sepejabat.
Menu yang disediakan adalah nasi himpit beserta rendang ayam cili padi, meehon goreng Singapore, kek batik, tembikai serta kuih-kuih raya. Memang terasa kepenatan kerana berturut-turut menyediakan kelengkapan namun gembira apabila ianya selesai.
Ada pujian terutama pada masakan. Almaklumlah rendang ayam cili padi ni mak yang masak menggunakan dapur kayu, memang terasalah keasliannya.. Ditambah pula dengan bantuan isteri yang membasuh ayam, mengacau ramuan pasti ia menjadi lebih sedap lagi.
Mengadakan rumah terbuka bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu diambil perhatian. Antaranya ialah :-
1) Bajet. Ia adalah perkara pertama perlu disemak. Adakah kita mempunyai bajet yang mencukupi untuk menyediakan masakan, peralatan dan sebagainya? Kalau tiada bajet tak perlulah sampai meminjam dari orang lain.
2) Hiasan rumah. Keadaan rumah perlu dalam keadaan yang baik. Nama pun rumah terbuka, bukan dewan terbuka kan? Jadi majlis dibuat di rumah maka perlu memastikan keadaan selesa untuk tetamu. Kalau rumah berserabut lagi tak berselera orang nak datang beraya. Nak hias rumah tak perlulah berbelanja sampai membazir. Cukup berhias dengan seadanya.
OO ye, ramai yang terlupa.. Tandas adalah tempat penting untuk berada dalam keadaan bersih. Jadi perlu sentiasa bersih ye.
| NAK TAHU CARA MENGHIAS RUMAH SECARA BAJET ? KLIK SINI |
3) Jumlah tetamu. Ianya amat penting untuk mengetahui jumlah tetamu yang dijemput. Jangan main ikut suka je jemput orang tapi tak cukup bajet atau keluasan. Nanti ramai-ramai datang takde tempat nak duduk, tambah lagi tak cukup makanan. Tak ke haru. Selain itu jumlah jemputan juga penting untuk kita melayan tetamu. Bila ramai tetamu kenalah minta bantuan orang lain untuk melayan.
Lagi satu, dapatkan anggaran kehadiran. Tak semesti tepat tapi mudah untuk kita menganggarkan makanan.
4) Masa Majlis. Bila mengadakan sesuatu majlis, masa perlu ditetapkan. Kalau tak cukup kakitangan janganlah letak tarikh je.. Nanti tak cukup badan nak melayan. Seeloknya hadkan masa buka dan penutup majlis. Jadi takdelah tergopoh gapah orang datang pada waktu tak tentu. Bayangkan kalau ada yang datang pukul 6 pagi atau 1 pagi tatkala anda sedang tidur atau baru nak beli barang di pasar.
Jadi dengan penetapan masa memudahkan anda untuk menyiapkan dan melakukan kerja-kerja membersihkan peralatan. OO, jangan lupa pula tarikh majlis tu. Nanti kena pada waktu yang tak sesuai pula pada tetamu.
5) Menu. Menu amat penting bagi mengelakkan kita terlebih bajet. Tak perlu menu banyak kalau tetamu sikit. Dari segi makanan pun kena bijak sebab kebanyakan tetamu akan pergi atau telah pergi ke rumah terbuka yang lain. Mungkin makanan yang mudah dihadam lebih sesuai.
6) Lokasi rumah. Bukan semua tetamu tau lokasi rumah anda. Ada yang mungkin pertama kali ke kawasan anda. Jadi berikan peta yang senang untuk ke rumah anda. Zaman sekarang ni boleh guna laman sosial atau GPS sosial yang memudahkan untuk pencarian. Tapi tak semua tau guna teknologi ni.
Okay, cukuplah serba sedikit tentang membuat rumah terbuka kali pertama . Bagaimana dengan anda? Ada buat rumah terbuka ke pada Hari Raya tahun ni?
One Reply to “Pertama Kali buat Rumah Terbuka Hari Raya”