Assalamualaikum dan salam sejahtera
Apabila telah berumahtangga pasti keselesaan diperlukan. Antara perkara yang menjadi keperitan adalah membasuh baju. Ditambah pula dengan kedua-dua pasangan bekerja sepenuh masa. Pasti ia bukan tugas mudah untuk dilaksanakan.
Pada masa kini, kemudahan mesin basuh merupakan satu keperluan yang mesti ada dalam setiap rumah. Ada yang menggunakan mesin basuh manual dan juga menggunakan yang automatik. Pelbagai jenama menawarkan kelebihan masing-masing bagi memberikan pilihan kepada pengguna.
Saya juga mengalami masalah dimana sukarnya isteri untuk membasuh baju. Balik rumah je dah petang dan penat, lepas tu nak masak lagi. Saya pula tidak berapa pandai memasak dan hanya membantu menghabiskan sahaja. Selepas mengira dan berbincang, sebuah mesin basuh diperlukan untuk memudahkan kerja-kerja membasuh pakaian.
Memandangkan di Jasin, kedai elektrik agak terhad maka kami singgah di sebuah kedai elektrik yang agak baru di Jasin Bestari. Tertarik dengan mesin basuh jenama ‘Toshiba’. Rekabentuknya menarik dan sekilas pandang, butang arahan juga tidak terlalu sukar untuk difahami. Maka akhirnya, mesin basuh Toshiba A820MM yang mampu memuatkan maksimum 7.2 kg pakaian menjadi pilihan setelah beberapa kali berbincang dengan isteri.
Mengikut penerangan, mesin basuh ini menggunakan teknik pusingan udara yang mampu memaksimumkan pengeringan pakaian ketika proses pusingan kering(spi-drying). Ia juga mempunyai 2 jet air yang mampu memanfaatkan air yang besar serta memastikan pembersih lebih efektif. Dram kristal bintang juga membantu mengelakkan kerosakan pada pakaian ketika proses membasuh dan memusing. Dan teknologi ‘Zero Standby’ dapat mengurangkan penggunaan elektrik terutama apabila pembasuhan telah selesai.
Selain itu, ada fungsi asas lain seperti pengawalan ‘fuzzy logic’, fungsi sambung..
Mesin basuh Toshiba yang dibeli ini berwarna biru (‘violet’) dan terdapat 2 jaminan umum, 3 jaminan panel kawalan dan 7 tahun jaminan motor.
Setelah sampai mesin basuh tersebut ke rumah, kami terasa gembira tapi agak malang masih belum dapat digunakan. Ini kerana tiada paip di luar bilik air untuk memudahkan penggunaan. Kalau masuk dalam bilik air pasti sukar. Ditambah lagi dengan salur air masuk yang pendek maka harapan untuk menggunakan seawal hari ini terbantut seketika. Insyallah, telah menghubungi tukang paip dan dijangkakan mesin basuh Toshiba ini akan dapat digunakan pada hari Ahad atau Isnin nanti. Harap-harap berjayalah sebab ada banyak juga baju tak terbasuh tu..
Bagaimana pula dengan anda? Apakah jenama mesin basuh yang anda miliki ? Ceritalah sikit di sini untuk panduan bersama.
p/s :- Tiada gambar sebenar mesin basuh tersebut dan cuma ambil gambar dari laman web rasmi Toshiba sahaja.