Assalamualaikum dan salam sejahtera semua

Pejam celik, dah seminggu si Zool bergelar ayah kepada seorang bayi lelaki bernama ‘Muhammad Fatih’. Alhamdulillah selama seminggu ini, tidak banyak karenah yang berlaku pada anak kecil ini.
Cuma ada sedikit ‘jaundice’ atau bahasa mudahnya ‘kuning’ padanya. Sedikit menggusarkan hati ibu dan bapa tapi tetap tenang kerana ianya merupakan perkara biasa yang berlaku pada bayi yang baru lahir.
Yang penting sekarang mengikut saranan doktor supaya ibu memberikan susu badan secukupnya agar ‘kuning’ itu akan keluar melalui sistem perkumuhan bayi melalui buang air kecil dan buang air besar.

Walaupun penurunan tidak banyak dan angka kuning dalam paras yang hampir bahaya namun saya mengikut sahaja nasihat doktor. Ada juga beberapa nasihat yang diberikan oleh rakan-rakan namun hanya mengikut yang bersesuaian sahaja.
Seminggu kelahiran bayi tersebut, memang terdapat perubahan dalam hidup ini. Sudah pasti kadar tidur menjadi kurang dan bangun malam sudah menjadi kemestian. Cuma sekarang ini belum tahap untuk memberi susu lagi kerana ibunya masih mampu memberi susu badan tatkala bayi tersebut terjaga.
Lagipun saranan pakar kesihatan adalah memberikan susu badan yang merupakan pemakanan terbaik untuk bayi. Semoga Muhammad Fatih akan dapat mengeluarkan kuning tersebut dengan cepat bagi mengelakkan sebarang masalah yang boleh menimpa kesihatan beliau. AMIN. Mungkin kawan-kawan pembaca boleh berdoa sama ye.

Mendaftarkan kelahiran bayi amatlah penting. Kelewatan mendaftar boleh menyebabkan anda didenda dan mungkin memberi kesan kepada bayi tersebut. Saya telah mendaftar bayi tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Jasin bagi membuat surat beranaknya. Agak malang kerana JPN cawangan tersebut tidak mampu membuat MyKid dengan cepat.
Bayangkan, apabila ditanya kakitangan menjawab proses MyKids di cawangan mengambil masa 3 bulan. Memang mengejutkan kerana berdasarkan maklumat, ianya mampu disiapkan dalam tempoh kurang sejam di Jabatan Pendaftaran Negara di Komplek Dalam Negeri Ayer Keroh. Jaraknya antara JPN Jasin dan JPN KDN itu hanya sekitar 30 kilometer sahaja.
Memang pelik kenapa terlalu lama masa diambil. Jadi bagi mengelakkan menunggu saya memmbuat MyKids tersebut di JPN Ayer Keroh. Memang cepat sahaja prosesnya dan mengambil masa kurang dari setengah jam untuk siap. Secara rasminya, ‘Muhammad Fatih’ telah menjadi warganegara Malaysia.

Ada beberapa persoalan ditanya pada si Zool iaitu :-

1) Kenapa nama Muhammad Fatih ? Nama ini diberikan oleh isteri saya. Ianya diinspirasikan oleh kisah Sultan Muhammad Al-Fatih di zaman kerajaan Uthamaniyah. Maksud namanya pun baik iaitu peneraju, pencetus dan sudah pasti ayat Al-Fatihah yakni pembuka surah adalah sumbernya. Insyallah, diharapkan anak ini mampu menjadi pembuka kegembiraan dalam kehidupan kami. Amin.
2) Kenapa 2 suku kata sahaja? Sekarang ini memang trend ramai yang memberikan nama anak yang panjang sehingga 3 suku kata. Tapi saya mengikut saranan ibu saya supaya memberikan nama yang mudah. Walaupun nama ini diberikan oleh isteri namun saya bersetuju apabila melihat panjangnya nama yang bersesuaian. Mudah untuk disebut dan ditulis. Saya tak mahu nama yang susah kerana nanti menjadi gurauan. Ye, si Zool pernah mengalaminya.
3) Kenapa bukan dimulai dengan huruf ‘Z’. Mungkin pada sesiapa yang mengetahui nama si Zool akan tertanya soalan ini juga. Nama sebenar si ZOol mempunyai 3’Z’. Tapi saya merasakan tiada kewajiban untuk menamakan anak yang mempunyai huruf ‘Z’.

Itu serba sedikit mengenai kisah si ZOol yang baru sahaja seminggu bergelar ayah. Semoga mampu menjadi bapa mithali bagi membentuk anak-anak menghadapi hidup yang mencabar ini.

Sekian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.