Kisah Menunggu Kelahiran Bayi

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua

Setelah menunggu berbulan lamanya, akhirnya kandungan isteri saya yang ditafsirkan berusia 40 minggu 2 hari berjaya dilahirkan. Pengalaman yang bercampur baur pada minggu ini.
Untuk entri ini, saya akan berkongsi sedikit kisah yang boleh dikenangkan. Memang bukan mudah untuk kelahiran ini, pada minggu sebelumnya isteri telah ke Hospital Jasin kerana risau apabila kandungan menjadi kurang aktif dan perut mengeras..
Memang amat risau apatah lagi usia kandungan telah mencecah 39 minggu dimana kebanyakan rakan-rakan serta adik melahirkan anak pada usia sebelum itu lagi. Walaubagaimanapun isteri discaj sehari kemudian dan dinasihatkan untuk menunggu sehingga terdapat tanda-tanda untuk bersalin.

Hari-hari yang mendatang cukup merisaukan apatah lagi kandungan hampir mencecah ke usia 40 minggu dimana tarikh sepatutnya adalah 10.5.2015. Pada tarikh tersebut pada hari Ahad, isteri mengalami tanda dimana terdapat lendir bercampur darah. Terus sahaja pagi itu pergi ke hospital Melaka.
Agak bernasib baik, tidak ramai orang pada waktu itu dan mudah untuk melakukan proses pendaftaran dan seterusnya dimasukkan ke ‘labor room’ (tak tahu nak alihbahasa). Pemeriksaan dilakukan dan isteri ditempatkan ke Wad 2-4. Ada sedikit penat kerana terpaksa menunggu wad yang kosong. Tapi kami faham situasi ini. Memang hospital Melaka sering penuh.

Pada hari Ahad masih belum ada tanda untuk bersalin. Pada malam itu, terpaksalah si Zool berkampung di Hospital Melaka (GH). Memang mencabar mental bermalam di situ. Tanpa katil, tilam untuk tidur. Melihatkan ramai yang tidur bergelimpangan di tepi lantai , tidur di kerusi cukup menginsafkan.
Hari Isnin masih belum mempunyai tanda untuk dipindahkan ke kamar bersalin. Malahan, isteri memaklumkan doktor pakar mencadangkan agar pulang dan tunggu apabila terdapat ‘kontraksi’ yang sebenarnya baru datang semula. Ia bukanlah cadangan yang ingin dipersetujui oleh si Zool. Apa taknya, lokasi rumah ke hospital mengambil masa dalam 40 minit. Jadi bayangkan kalau ia terjadi di tengah malam. Pasti mempunyai kesukaran untuk ke sana.
Agak bernasib baik apabila isteri dibenarkan rehat apatah lagi dia merasa sedikit sakit di bahagian pinggang. Maka doktor yang tiada ‘pakar’ membenarkan agar isteri berehat. Memandangkan keletihan, secara tiba-tiba pada malam itu, saya terasa ingin pulang dan mandi ke rumah.
Maka pagi jam 12.30 pagi sampai ke rumah di Jasin. Pada mulanya hanya ingin mandi dan bersiap semula ke hospital namun seperti dipujuk, tertidur pula.

Sedar-sedar jam 4.30 pagi dan membuka handphone. Alangkah terkejutnya apabila mendapati terdapat 4 ‘misscall’ dari handphone isteri. Tambah menggusarkan apabila mesej pada jam 1.45 pagi memaklumkan yang air ketumbahannya telah pecah. Memang ketika itu, perasaan menyesal balik ke rumah bertambah-tambah. Memang menggila je memandu kereta ke hosppital. Tak dapat bayangkan perasaan seorang isteri yang sedang berseorangan tanpa suaminya.
Sedangkan sepatutnya si Zool layak untuk masuk ke kamar bersalin kerana telah menghadiri kursus peneman. Memang terasa amat bersalah pada ketika itu. Sesampainya di ruang luar kamar bersalin, terus bertanyakan keadaan isteri. Alhamdulillah, petugas di kamar bersalin memaklumkan isteri telah selamat melahirkan anak dan menunggu jahitan selesai.

Selesai sahaja, saya dibenarkan masuk untuk melawat isteri dan juga anak. Minta maaf antara perkara yang dimaklumkan ketika bertemu isteri. Beliau faham tentang situasi tersebut dan tidak menyalahkan saya. Alhamdulillah, selepas selesai si Zool menelefon saudara mara dan ‘Whatsupp’ mesej pada yang terdekat.
Memang terdapat pengajaran dalam peristiwa kelahiran ini. Selain itu ada juga beberapa perkara yang ingin saya kongsikan iaitu :-

1) Janganlah meninggalkan isteri sekiranya boleh. Memang agak merugikan kalau tidak melihat kelahiran anak dan pengorbanan isteri. Bayangkan kalau terjadi perkara yang tidak diingini pasti menyesal seumur hidup.
2) Hospital Melaka patut melakukan penambahbaikan dari segi parking. Selalu nampak kenderaan di ‘block’ akibat dari pemandu yang tidak memikirkan orang lain. Kalau ada yang tinggalkan no phone boleh tahan lagi. Yang tiada, memang menyukarkan untuk orang keluar.
3) Kafetaria di Hospital Melaka patut ditambahbaik. Kawasan tidak cukup bersih dan menarik untuk dikunjungi.
4) Mungkin sepatutnya Hospital Daerah mempunyai pakar terutama dalam perbidanan. Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pengunjung di hospital Besar Melaka sekaligus masalah parking ini dapat dikurangkan.
5) Kerusi di ruang menunggu tidak membenarkan pengunjung tidur. Mungkin perlu bersimpati kepada mereka yang terpaksa bermastautin sementara di situ. Mungkin boleh ada bilik khas untuk pengunjung tersebut dengan dikenakan sedikit bayaran.

6) Cabaran sebagai seorang bapa bermula…..

Itu serba sedikit tentang kisah si Zool saat-saat menanti kelahiran anak pertama. Semoga ada yang menjadi pengajaran anda semua.

p/s :- Terima kasih kepada kakitangan wad 2-4 Hospital Melaka yang membantu. Walaupun ada sedikit kelemahan tetapi secara keseluruhannya agak berpuas hati.. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *