Team Building di Nur Lembah Pangsun, Ulu Langat kelolaan Petaminda Academy

Agak penat tapi ku cuba juga menulis kisah 3 hariku berada di lokasi yang agak asing bagiku. Berada di Nur Lembah Pangsung , Ulu Langat memang satu tempat yang baru bagiku. Bukan hanya aku tapi juga 40 lebih rakan sepejabatku juga.  Kursus Team Building memang sesuatu yang sering dilakukan oleh organisasi atas sebab-sebab untuk mengukuhkan organisasi masing-masing. Begitu juga dengan organisasi tempat kerjaku. Kalau tahun lepas kami buat Team Building ni kat Dusun Eco Resort, Bentong Pahang tapi kali ni jabatan mengarahkan kami bermastautin di Nur Eco Resort di Lembah Pangsun, Ulu Langat, Selangor . Memang bukan satu perjalanan yang singkat. Kami bertolak kira-kira jam 3.30 petang dan tiba dalam 7.00 malam. Sempat singgah di RnR Seremban untuk solat Asar sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi  kursus tersebut.

Sesampainya di lokasi makan dulu dan seterusnya check in di dorm. Alamak sikit spoil sebab dorm agak sempit. Ditambah pula hujan tiba-tiba turun menganas. Menampakkan kebocoran siling pada dorm yang terpaksa dihuni kira-kira 20 orang. Menambahkan komplen dari kawan-kawan bila bilik air berada dalam kawasan dorm dan hanya ada 2 tandas manakala bilik air terbuka di dalam tandas itu. Tapi sebab badan berlengas aku layan je mandi sambil memakai seluar pendek renang ku.

Malam itu acara yang sepatutnya bermula pada jam 8.00 malam terpaksa dilewatkan kira-kira setengah jam selepas itu sebab hujan mencurah menghalang perjalanan ke Dewan Biru.  Sesampainya di Dewan Biru, acara dimulakan dengan sesi Ice Braking. Lari dari kebiasaan untuk memperkenalkan diri masing-masing kali ini susunan bulatan mengikut  seniority di jabatan, umur serta bulan kelahiran di adakan. Kenapa bulan kelahiran? Surprise, mereka yang lahir pada bulan Mac disambut meriah oleh pengelola kursus. Ooo.. Hampir terlupa pula untuk memperkenalkan syarikat yang mengendalikan kursus Team Building ini iaitu syarikat Petaminda Academy. Moderator utamanya iaitu CEO Syarikat Syed Al Bismit menjadi penggerak utama kursus Team Building ini.

kumpul-awal
Baru tiba dalam Dewan Biru untuk aktiviti Ice Braking
susun-bulatan-team-building
Menyusun kakitangan mengikut senioriti

Selain itu, ketika duduk dalam bulatan kami juga diminta memberikan potensi diri dalam diri. Memang agak sukar nak ku bicarakan sebab aku tak berapa ber’skill’ sangat. Jadi aku ambil ‘passion’ aku dalam menulis blog sebagai salah satu potensi diriku. Walaupun blog-blog aku tidak mampu menjana pendapatan yang steady tapi aku tetap merasakan ini adalah yang aku TERBAIK bagiku. Yelah, walaupun tidak segah mana tapi kemampuanku untuk bertahan menulis dari tahun 2007 sehingga kini patut dikagumkan. Malahan kesanggupan aku menukar identiti caca marba blog Ligakampung.com kepada niche sukan tempatan patut menjadi motivasi untukku. Malahan blog ini yang baru berusia kurang 2 tahun patut menjadi identiti diriku ini. Yelah, blog dengan domain namaku SENDIRI sudah pasti unik dan pembaca akan mengenali diriku. Macam korang semuakan. Harap-harap potensi diriku dalam dunia blog ini mampu menjadikan aku lebih baik lagi. Inshallah. Dan juga korang semua pembaca yang kusayangi.

Dalam ice braking tu dapatlah mengingat kembali kisah-kisah masa aku BERMULA di jabatan yang memberikan pendapatan bulanan kepadaku. Telah hampir 13 tahun aku berkhidmat. Pernah dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat PBM , menaiki kapalterbang, dapat bonus dan banyak lagi yang kuperolehi. Tapi yang paling besar, sudah pasti pengalaman susah senang di sini.

Masuk hari kedua, pagi-pagi memulakan acara dengan senaman ‘Jom Fit’. Aku memang bukan kaki senaman tapi layankan juga. Dalam kumpulan yang telah diagihkan pada malam sebelumnya kami diberikan tugas spontan mencipta aksi baru dalam senaman berdasarkan aktiviti Memasak. Agak kelakar juga buat aksi tapi bolehlah kan. Ini penting juga sebab selepas itu kami akan menjalani aktiviti ‘Jungle Trekking’.

Walaupun aku kaki lari tapi aktiviti memanjat bukit bukanlah sesuatu yang pernah kulakukan. Rasanya tak pernah lagi aktiviti memanjat bukit hatta Bukit Batu Lebah di kawasan sedaerah pun tak pernah ku daki. Ditambah lagi pakai kasut yang kugunakan sekali untuk jogging. Hahahaha.. Memang tak sesuai sebenarnya tapi ku hayunkan juga. Mengikut maklumat dari Pak Long, tokei kawasan tersebut perjalanan akan mengambil masa dalam 3 jam (pergi dan balik). Memang cukup mencabar juga aktiviti memanjat gunung apatah lagi dengan peserta melebihi 40 orang. Ada perempuan yang berbadan agak gempal masih sanggup untuk meneruskan perjalanan 3 kilometer menuju bukit beserta dengan kedatangan pacat-pacat yang menyinggahi tubuh badan masing-masing. Agak malang sebab tiada pacat yang sudi untuk menghisap darah AB+ ku ini.

Sampai ke destinasi yang dituju. Wah, sungguh cantik air terjun semulajadi di lokasi tersebut. Aku tak pasti destinasi tapi hampir-hampir ke Gunung Nuang. Berendam seketika di air terjun menampakkan keindahan ciptaanNya.  Nak berenang takde kolam tapi air terjun tu memang cukup sejuk. Almaklumlah ianya air bukit pastinya kurang pencemaran berbanding air di bawah tu. Melayan air beramai-ramai dan mengambil sedikit masa untuk melihat alam-alam ciptaanNya.

air-terjun-gunung-nuang
Melayan Kesejukan Air Terjun

Bertembung juga dengan budak sekolah yang juga buat jungle trekking serta ahli-ahli pengakap yang buat camping. Memang terbaik adik-adik ni sebab buat aktiviti yang berfaedah. Bagus, jangan jadi macam abang ni. Masa muda belia habis tengok ‘Wrestling’, ‘Main Snooker’, tidur je.

Turun je mengambil masa agak cepat berbanding naik tapi kena lebih berhati-hati sebab jalan menurun lebih berisiko menghadapi kecederaan. Sampai di kawasan landai kira-kira 1 kilometer, seorang rakan berlari dan kemudian diekori oleh seorang lagi. Aku terpaku dan hanya mula mengikut jejak selepas kira-kira 100-200 meter selepas itu. Itupun sebab ada seorang yang join sekali. Sampai di pertengah jalan, ada bunyi anjing menyalak pula. Memang kacau ‘pace’ betul. Terpaksa berhenti sambil mencari senjata . Tetiba ternampak ada perempuan di hadapan pula. Rupa-rupanya ada rakan perempuan juga yang cuba berlari tapi terhenti sebab ANJING tu. Selepas rakan yang berlari sama itu bersama rakan perempuan tu, aku pun meneruskan larian. Secara jujurnya aku tahu yang aku takkan dapat mengejar 2 rakan lelaki yang depan itu. Sebab kedua-dua yang didepan itu ada #DARAHATLET sedangkan aku kaki bangku tapi aku cuba untuk berlari mendapatkan pace di tengahari itu. Aku tak pasti berapa pace tapi jangkaku mungkin sekitar 7.** min/kilometer. Dapatlah menjadi orang ketiga yang tiba ke lokasi. Sambil tu ambil gambar kenangan dan terus layan makan tengahari.

peserta sampai awal
3 Peserta yang sampai awal ke Resort dari Kaki Bukit

Dengan baju dan seluar Nike Just Do It pasar malam basah aku melayan juga makan tengahari dan selepas itu menukar pakaian lain. Agak malang sebab aku target nak pakai baju pagi tu sampai petang tapi tak boleh sebab basah. Maka lari bajet baju ku. Terpaksa petang pakai baju lengan panjang.

Petang tu pula kena layan aktiviti Explorace. Memang bukan kemahiran aku dalam aktiviti berkumpulan ni. Ada 5 check point yang perlu diselesaikan dan yang paling penat bila mencari envelope yang tak JUMPA-JUMPA. Samada kena SABOTAJ atau memang envelop tu hilang entah ke mana. Tak mengapalah tu. Aku takde masalah cuma rakan-rakan seperjuangan yang ambil besar sangat hal tersebut. Kalau nak ikutkan pun team aku pun banyak juga tidak jujur dalam membuat sesuatu aktiviti. Jadi kira nasiblah kan.

Explorace
Bersama rakan sekumpulan meneruskan aktiviti Explorace

Lepas selesai aktiviti Explorace ada juga sesi menyusun puzzle untuk dijadikan segi empat . Agak sukar sehinggalah terpaksa diberi klu oleh para fasilator. Oo ye, fasilator budak-budak muda yang rasanya berusia bawah 30-an tu. Terima kasih kepada mereka yang banyak membantu.

explorace
Gambar dengan ahli kumpulan.

Habis je aktiviti explorace aku melayan aiskrim yang dibelanja oleh Pengarah ku. Untuk makluman korang, Pengarah juga turut serta dalam aktiviti Jungle Trekking serta melihat aksi-aksi Explorace kakitanganya. Kira dia pun involve juga dalam melihat hasil Team Building kakitangan.Lepas makan aiskrim kami semua melayan berenang di kolam renang. Secara jujurnya aku takut juga nak masuk dalam kolam renang kat sini. Apataknya, tengok keadaan air tak terjaga. Tapi bila ramai masuk aku pun beranikan juga. Doa-doa semoga takde apa-apa ye. Amin..

kolam renang nur eco resort
Melayan berenang ramai-ramai di Kolam renang nur eco resort

Ada 2 kolam dimana satu kolam tinggi masih di bawah paras dada manakal yang satu lagi ada lokasi kolam renang yang agak dalam. Lepas mandi di kolam yang rendah tu kami ke kolam renang yang agak dalam. Tapi aku belum ada keyakinan untuk masuk yang lebih dalam maka berada di tepian di lokasi yang masih dalam kawalan. Menggunakan teknik renang kuak dada yang ku pelajari dari ebook ‘Teknik Berenang Kuak Dada’  . Air di kolam renang memang sejuk kerana ia direct dari air bukit. Layan juga dalam 1 jam di kolam renang sebelum bersiap sedia makan malam dan untuk aktiviti malam pula.

Aktiviti malam bermula dengan task yang diberi oleh penceramah iaitu Malam Seribu Bintang. Setiap kumpulan diberikan tugas untuk melaksanakan sesuatu yang cukup mencabar. Aku? Selepas berbincang kena jadi ‘Rapper’ pula. Adoyai. Walaupun aku layan juga lagu-lagu rap tapi nak menggayakan lagak ahli rapper cam Eminem, Waris bukanlah bakatku. Tapi bantai juga buat pada malam tu. Korang boleh tengok sendiri video kat bawah ni.

Hahahaha. Memang lawak juga sebab ramai yang terperanjat aku beranikan diri menari hancur ala-ala John Cena, wrestler dan rapper tu. Nasib baik badan tak macam John Cena. ‘You Can’t See Me’.

Habis malam tu dengan gelak ketawa oleh semua kakitangan termasuk boss ku. Memang seronok dan berbeza berbanding tahun lepas dimana kena berlakon dan tugasan dibagi pagi. Ini buat je hentam keromo tanpa berfikir panjang. Cuma ahli perempuan ada malu-malu kucing nak buat. Memang tak jadi le.

Esok hari terakhir dan tiada senaman ringan. Ooo ye, di sini kami solat di surau di dalam Resort ni sebab dalam dorm tiada ruang untuk bersolat. Kena solat di surau dan melakukan Jamak pada waktu Zohor-Asar dan Maghrib-Isyak.

Pagi tu sebelum memulakan aktiviti penceramah memaparkan video tentang manusia-manusia yang mempunyai kehebatan luar biasa. Penyanyi jalanan dalam Korea Got Talent dan juga OKU terkenal, Nick Vujicic . Bila melihat video tersebut teringat pada seorang kenalan, Sukur Ibrahim yang mempunyai fizikal hampir serupa dan juga seorang yang cukup bermotivasi. Dan juga seorang tokei pemasangan karpet yang semakin terkenal. Bagi sesiapa yang nak pasang karpet boleh rujuk website ni .

Selepas melihat video tu ada aktiviti lain iaitu Fokus sebut Hi/Bye dimana aku berjaya berada dalam top 15 tapi tumbang juga. Hanya 5 peserta terbaik diberikan markah. Agak tertekan sebab aku sorang je wakil bagi kumpulan aku pada aksi tersebut. Selain itu ada juga Lego Talk dimana orang penghujung perlu menyiapkan bentuk Lego seperti yang diminta. Kena percaya pada penyampai dan penyampai kena cekap. Agak tidak bernasib baik sebab kumpulan hanya berjaya mendapat tempat ketiga. Selain itu ada juga aktiviti melukis berdasarkan penerangan dan menyusun nat-nat. Dan terakhir sekali aktiviti pemberian sijil kepada para peserta yang menghadiri kursus Team Building ni.

sijil-team-building
Menerima Sijil daripada Pengarah

Selesai semua aktiviti kami pun pulang ke Melaka yang tercinta. Secara keseluruhannya, aktiviti Team Building kali ini lebih baik dari segi aktivitinya. Memang amat baik mengadakan team building bagi memupuk kerjasama antara satu sama lain. Apapun samada ia boleh dibawa balik ke organisasi hanya masing-masing yang perlu merealisasikan bersama. Wallahualam.

Inshallah kalau aku mampu buka syarikat nanti aku pun nak staff layankan Team Building ni setiap tahun. Memang bagus untuk merapatkan antara satu sama lain. Selain itu dapat juga aku menulis entri panjang yang mencecah 17++ patah perkataan ni. Jarang sekali aku boleh taip panjang-panjang sampai 1,000 patah perkataan. Semoga dengan panjang artikel ini boleh memperbaiki SEO blog ini.

Heheheh. Korang pernah tak hadiri Team Building? Boleh cerita juga pengalaman korang camne.

 

5 thoughts on “Team Building di Nur Lembah Pangsun, Ulu Langat kelolaan Petaminda Academy

  1. Team building memang berguna sebab ia boleh membantu ahli-ahli pasukan menyedari kebakatan masing-masing dan lebih baik wujud untuk cara pasukan beroperasi dan menjalankan tugas dalam satu pasukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *