Kursus Tatacara Kewangan,Makan Bersama Keluarga di Crystal Bay, Jerebu di Melaka

Banyak cerita pada minggu ini, sampai aku tak termampu untuk menaip di blog-blog. Bukan setakat blog personal ni je, blog sukan, kesihatan dan sebagainya agak terbengkalai minggu ni.
Mula-mula cerita betapa kelam kabutnya aku bila ada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada Khamis lepas. Nak pula tu mesyuarat buat kat bilik mesyuarat di Seri Bendahara. 2 hari je nak buat persiapan tapi nasib baiklah minit dan maklumbalas dah sedia awal-awal.
Cuma nak kena standby laptop dan pastikan slide berjalan lancar. Nasib baik sehari sebelum tu pun ada buat pra-mesyuarat. Adalah nampak problem dimana hyperlink tak betul. Berpeluh jugalah nak buatnya.

Tambah pula tu aku ada mesyuarat Jawatankuasa Pemandu ICT yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri. Mula-mula tak nak pergi tapi bila minta pendapat boss, dia suruh pergi juga. Ini bukan kali pertama aku menghadapi mesyuarat secara ADHOC, masa zaman Datuk Ali Rustam jadi Ketua Menteri pernah mesyuarat petang pagi tu beritau.

Mesyuarat Lembaga Pengarah di Seri Bendahara
Mesyuarat Lembaga Pengarah di Seri Bendahara

Memang tunggang langgang juga mesyuarat tu. Tapi nasib baik persediaan minit dan slide dah siap awal-awal. Jadi takdelah tak bersiap langsung. Cuma tukar mana patut je. Ini lah nasib seorang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, macam-macam nak kena  buat. Kadang-kadang terasa penat dan nak tukar tapi memandangkan aku kerja kat badan berkanun, kemungkinan untuk berpindah ke jabatan lain adalah 1% je.
Tu yang dalam hati terasa nak bersara awal tu. Tapi nak bersara awal kenalah buat persiapaan nak buat apa. Aku tak berani buat SASARAN awal, cuma bajet dalam 10 tahun lagi aku boleh bersara AWAL. Sebab tu kena buat perancangan apa yang aku perlu lakukan, berapa simpanan dan pendapatan yang boleh dibuat. Nak harapkan blog-blog, buat masa ini belum mendatangkan HASIL. Mungkin kalau lagi 10 tahun lagi boleh meletup tak tau le..
Mesyuarat mula jam 10.00 malam yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Sosek-sosek dekat pukul 12.30 baru habis mesyuarat. Aku tak boleh cerita isi mesyuarat sebab RAHSIA. Sampai rumah pula pukul 1.00 pagi…

Esoknya pagi jam 8.00 terpaksa berada di Hotel Orkid, Melaka pula. Bukan dekat dari Rumah tu. Ambil masa sekitar 40 minit juga nak sampai tu. Tambah lagi nak tempoh traffik light yang banyak tu. Memang lecehlah. Nak datang lambat tak boleh pula sebab aku pegang laptop dan projektor bagai. Sampai jam 8.30 pagi pun bermulalah kursus tu. Kursus berkenaan Tatacara Kewangan dan Perolehan Kerajaan yang berlangsung selama 2 hari.

Bergambar di hadapan Hotel Orkid. Carilah mana satu si Zool
Bergambar di hadapan Hotel Orkid. Carilah mana satu si Zool

Banyaklah juga yang aku BELAJAR dan banyak juga yang merisaukan AKU selepas mengetahui prosedurnya. Adoi.. Banyak benda yang salah ku lakukan dalam kerja-kerja selaku ‘PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT’ ni. Menambahkan lagi perasaan untuk bersara awal ni. Tapi kalau aku bersara sekarang, apa aku nak bagi bini dan anak ku makan? Duit simpanan pun sekadar 4 angka je. Itu pun bersamaan sebulan gaji je. Mana nak tanggung kalau ku ambil keputusan berhenti nu.
Dari segi tempat, agak oklah kursus di Hotel Orkid ni. Mula-mula aku risau kalau susah nak cari tempat letak kereta, tapi ada disediakan walaupun tak banyak. Cukuplah untuk satu pejabatku nak letak kereta situ. Masa solat Jumaat pula aku dan rakan-rakan menunaikannya di Masjid Bukit China. Rasanya itu kali kedua aku bersolat disitu. Dulu penah kursus kat Bayview Hotel dan ku solat disitu juga. Agak ramai juga orang disana terutama yang bekerja di kawasan berhampiran.

Hari Sabtu yang lalu, aku dan keluarga pergi makan ikan bakar di Crystal Bay, Melaka. Kebanyakan orang tahu ikan bakar Melaka di kawasan Umbai tapi sebenarnya ada banyak tempatnya. Antaranya di Crystal Bay. Medan Selera MBMB itu dipenuhi oleh kereta-kereta tapi masih ada ruang untuk parking. Walaupun kena bayar RM1 tapi masih selesa. Kami pergi makan ikan bakar itu sempena adik yang baru dapat kerja baru dengan gaji pertama disamping menyambut kelahiran ibu yang ke 66 tahun.

Sekeluarga Makan di Medan Selera di Crysal Bay
Sekeluarga Makan di Medan Selera di Crysal Bay

Sudah 66 tahun ibuku menghirup nafas di bumi Allah ini. Banyak jasanya yang tak mampu kubalas. Terima kasih ibuku, Sabariah bt Hashim. Akan ku cuba balas jasamu hingga ke akhirnya. Semoga harapan untuk menunaikan umrah pada hujung tahun ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Inshaallah. Makan disini lebih tenang berbanding di Umbai pada tahun lalu. Perjalanan ke sana juga lebih selesa. Cuma kali ini agak sekejap berjumpa adik yang bekerja di Selangor. Ada juga perbincangan menarik ketika berada bersama dalam kereta.
Antara yang ku dapatkan pandangan adalah mengenai kereta. Yup, aku ada cita-cita untuk memakai kereta baharu pada tahun depan. Impian samada kereta Toyota Vios atau Honda City, tapi kalau tak mampu cuba dapatkan Proton Preve je. Ini kerana kereta MyVi ku semakin tua dan bermasalah. Apatah lagi dengan kehadiran anak sulung, memerlukan aku memakai kereta sedan. Kereta Viva isteriku boleh dijadikan sebagai kereta spare dan aku memerlukan kereta yang lebih efisin terutama untuk perjalanan jauh. Yang lain banyak cerita perihal kisah bolasepak terutama team Arsenal je. Sebab kami memang penyokong Arsenal..  Sambil isteriku pula bertanya tentang anak dengan isteri adikku itu.
Anakku agak baik cuma bosan bila berada lama dalam stroller sambil terpaksa membawanya berjalan-jalan. Beliau masih kecil lagi tapi rasanya tahun depan mungkin dia akan berkawan dengan 3 orang sepupunya nanti. Boleh havoc lah rumah bapa ku nanti bila semua balik kampung.
Penangan ikan kerapu, siakap, sotong goreng tepung, udang butter, air tembikai, air oren menjadi santapan. Bukan makanan yang dikisahkan, yang penting ikatan kekeluargaan yang terikat sehingga kini. Semoga ia akan berkekalan walaupun masing-masing akan mempunyai keluarga sendiri. Setakat ini hanya 3 adik beradik telah mempunyai keluarga manakala yang 3 lagi masih belum bertemu jodohnya. Kira boleh tahanlah juga makanannya tapi rasanya Restoran Ikan Bakar Parameswara, Umbai masih yang terbaik bagi diri ini. Kalau nak tau lokasi Ikan Bakar Terbaik, cuba tengok sini

Jerebu di Melaka pada minggu ini agak teruk. Isteriku yang jarang batuk pun kedengaran bunyinya. Kena minum air kosong banyak-banyak bagi menghilangkan batuk tersebut. Banyak aktiviti luar tertangguh. Aktiviti larian hujung minggu yang biasa dilakukan terpaksa ditangguh. Tak perlu ku ambil risiko ini walaupun pertandingan larian JCI Charity Eco Run 2015 semakin hampir. Aku memerlukan latihan bagi memastikan dapat menyelesaikan 5 kilometer larian di Hutan Rekreasi Ayer Keroh. Walaupun berdasarkan larian terakhir AKU merasakan jarak itu boleh ditamatkan namun cabaran disana tidak dapat dipastikan lagi.

Pendaftaran JCI Running Telah disahkan
Pendaftaran JCI Running Telah disahkan

Aku kena merekodkan larian yang lebih jauh dalam latihan bagi memastikan ia tidak terlalu susah. Namun apakan daya situasi sekarang tidak mengizinkan. Harap-harap dalam beberapa minggu ini akan turunlah hujan yang lebat bagi membuang sisa Jerebu yang menganggu kualiti udara di negeri Malaysia sekarang ni.

Ooo ye, anakku sudah mula memusing badan pada minggu ini. Mungkin juga akan mula meniarap pada bulan ini. Semoga beliau mampu lebih jauh lagi. Okay, sekian cerita hari ini.
Takziah kepada keluarga mangsa KEMALANGAN KREN DI MAKKAH tempohari. Semoga mereka sentiasa diLindungi oleh Allah. Al-Fatihah.

3 thoughts on “Kursus Tatacara Kewangan,Makan Bersama Keluarga di Crystal Bay, Jerebu di Melaka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *