Assalamualaikum dan salam sejahtera semua

Tahun 2015 telahpun datang dan tahun 2014 telahpun meninggalkan kita. Jika sebelumnya, akan ada entri pencapaian bulanan untuk awal tahun 2015 ini saya akan merumuskan pencapaian yang dicapai oleh diri ini pada tahun 2014. Selain itu, sasaran untuk tahunan juga akan dicatatkan dalam entri kali ini.

Mengimbau kembali kenangan pada tahun 2014, terdapat banyak suka dan duka yang boleh menjadi titipan sejarah dalam hidup ini. Antaranya ialah :-

1) Akhirnya menjadi seorang suami. Tanggal 8 Februari 2014 si Zool telah menamatkan zaman bujang pada umur 36 tahun. Umur yang agak berusia bergelar seorang suami. Alhamdulillah, perjalanan perkahwinan baik. Rumah teres kecil yang dibeli pada tahun 2007 telah diduduki bersama isteri. Banyak benda yang diisi dan melakukan juga dekorasi bajet disitu.
Insyaallah, jika diizinkan oleh Yang Maha Kuasa, akan ditambah ahli keluarga pada tahun ini.

2) Pembelian Barang-barang. Tahun 2014 ini terdapat banyak barang yang dibeli termasuk perabot dan peralatan elektrik untuk kegunaan bersama. Kebanyakan perkongsian dengan isteri tapi barang keperluan sendiri iaitu smartphone Lenovo A680. Walaupun bukan smartphone yang hebat namun cukup untuk kegunaan biasa. Itupun terpaksa beli selepas smartphone Sony Xperia X10 telah tidak mampu berfungsi selepas dimasuk air beberapa kali.

3) Menjadi Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan. Si Zool telah  menjawat Biro Kebajikan Kelab Sukan tu. Walaupun tidak berpuas hati dengan kerja sendiri sebagai AJK namun banyak pengalaman yang dilalui sebagai AJK. Mungkin pada tahun ini akan melepaskan jawatan selepas 2 tahun. Antara pengalaman menarik adalah membantu AJK mengadakan majlis makan malam Jabatan, memberi sumbangan kebajikan kepada ahli, bowling Jabatan, menyertai futsal Jabatan, rombongan ke Terengganu , Langkawi dan beberapa lagi aktiviti kelab.

4) Menerima 2 anak buah baru. Dua orang adik saya menerima cahayamata lelaki pada tahun ini. Menambahkan lagi zuriat ahli keluarga.

5) Hutang semakin hampir diselesaikan. Sememangnya saya ada 3 hutang utama iaitu hutang PTPTN, hutang kereta dan hutang rumah. Alhamdulillah, PTPTN baki tinggal RM2,800 lagi untuk diselesaikan. Walaupun sasaran permulaan adalah pada tahun ini namun ia dianjakkan akibat majlis perkahwinan yang memakan belanja besar pada tahun ini. Dijangkakan tahun 2016 mampu menghabiskan baki. Kalau ada kemampuan mungkin mampu menyelesaikannya pada tahun ini. Mengharapkan agar pendapatan blog mampu menjana pendapatan yang lebih pada tahun ini. Hutang kereta juga ada berbaki 4 tahun yang perlu diselesaikan.

6) Reunion rakan sepengajian. Bukan satu tugas mudah untuk menghimpunkan rakan-rakan yang berada di lokasi berbeza. Namun dengan kemudahan teknologi applikasi Whatsapp, kami dapat berkumpul sekaligus mengimbau kenangan lama.

reunion3

7) Menjadi ketua unit Teknologi Maklumat di Jabatan. Memandangkan jabatan agak kecil, maka saya menjadi ketua Unit bahagian Teknologi Maklumat. Alhamdulillah ada 2 kakitangan bawahan yang membantu untuk meneruskan tugas sebaik mungkin. Banyak yang berjaya dilakukan seperti melakukan pembelian aset ICT, penyewaan PC dan printer. Selain itu, perancangan untuk membangunkan sebuah sistem melalui vendor berjaya dilaksanakan. Walaupun belum selesai namun proses sedang berjalan. Harap berjaya hendaknya.

8) Kehilangan. Selain dari kehilangan duit yang banyak selepas kahwin, 2 orang pakcik saya telah kembali ke rahmatullah. Pakcik sebelah mak telah meninggal mengejut ketika kerja dan seorang lagi pakcik sebelah bapa meninggal akibat sakit tua. Belah isteri saya juga kehilangan suami sepupu yang meninggal secara mengejut. Al-Fatihah.

9) Bapa kemalangan. Satu kisah yang sukar dilupakan apabila bapa mengalami kemalangan melanggar jentolak. Masuk suratkhabar Harian Metro kisah ini.

10) Blog. Tiada apa menarik sangat pada tahun ini cuma telah menarik diri dari pengiklanan Innity yang tak memberi banyak pendapatan.

Ini serba sedikit tentang pencapaian pada tahun 2014 manakala sasaran pada tahun 2015 pula adalah seperti :-

1) Menukar compressor aircond kereta. Terdapat kerosakan pada aircond kereta yang kurang sejuk apabila tahap kepanasan melampau. Singgah ke Perodua Service di Jasin dan dikatakan yang harganya sekitar RM1,800. Angka yang cukup tinggi bagi si Zool dan perlu mencari pendapatan tambahan untuk menggantikannya. Semoga ada duit lebih-lebih yang mampu menjadikan bekal untuk membayarnya.
Tips Panduan Menjaga Kereta

2) Menyelesaikan baki hutang PTPTN. Sepatutnya nak tukar dari jenis konvensional ke Ujrah tapi tak sempat sebab banyak dokumen yang diperlukan. Baki RM2,800 bukan sikit tapi mungkin mampu diselesaikan kalau ada penambahan pendapatan online.

3) Membeli smartphone baru. Bukan tak best pakai Lenovo tapi mungkin untuk kegunaan isteri yang masih tak pakai smartphone. Kalau ada kemampuan mungkin nak beli laptop atau tabs untuk kegunaan sendiri bagi menggantikan laptop sediada.

4) Membangunkan sistem atau laman web sendiri. Sekarang ni sedang belajar pengaturcaraan melalui platform CodeIgniter. Memang cabaran untuk belajar tentang koding ni tapi insyallah mampu dilaksanakan.

5) Memperbaiki diri sebagai ketua unit Jabatan. Banyak cabaran yang sedang menunggu pada tahun ini. Nak menyiapkan pembangunan sistem oleh vendor, menambah penyewaan PC, pembelian aset dan sebagainya. Diharap semoga menjadi lebih baik pada tahun ini.

6) Merancang untuk aktif dalam aktiviti di Taman. Almaklumlah pada tahun lepas, saya masih baharu dan mungkin tahun ini akan cuba mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

7) Sasaran pendapatan konsisten sekurang-kurangnya RM500 sebulan melalui online. Bukan satu tugas mudah namun boleh dilakukan. Kalau si Titan boleh dapat ribuan ringgit takkan si Zool tak leh dapat ratus kan? Yang penting kena ikut panduan-panduan yang dibaca macam ebook Rahsia Penulis dan ebook Buat Duit dengan Affiliate – Kitab Teknik SEO Merah Jambu

Okay, cukuplah setakat ini. Semoga tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Insyallah.

One Reply to “Pencapaian 2014 dan Sasaran 2015”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.