Tahun 2016 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari je lagi. Kebiasaanya aku akan menjengok kembali apa-apa yang aku inginkan pada tahun lepas samada tercapai atau tidak.
Kalau tak tercapai persoalan ‘KENAPA’ ? ‘BAGAIMANA’ ? akan dituturkan untuk mencari dan memperbaiki segala apa yang dilakukan pada tahun 2016 ini. Untuk tahun ini aku cuba menulis seawal sebelum tamat penghujung Disember 2016.
Antara azam 2016 yang telah kutetapkan adalah :-
1) Larian
– Aku mensasarkan untuk menyertai 5 acara larian. Kalau diikutkan aku telah berjaya menyertai larian Fit Malaysia Masjid Tanah, Melaka Heritage City Run, PMM Colour Run, Ayer Molek Colour Run dan Melaka Possible Run.
Agak malang tak dapat menyertai Perkeso Charity Run sebab tak daftar dan dekat dengan majlis. Melaka Charity Eco Run juga tak dapat sertai walaupun telah daftar sebab ada kerja pada waktu pagi tu. Dan dijangka aku akan sertai Ayer Molek Colour Run edisi kedua pada 18 Disember nanti.
Kiranya aku berjaya menyertai lebih dari 5 acara larian.
– Dari segi sasaran, aku mensasarkan untuk berlari lebih dari 1,000 kilometer setahun (termasuk larian latihan). Berdasarkan catatan menggunakan aplikasi Runkeeper, setakat 4 Disember 2016 aku hanya mencapai 398 kilometer. Sudah pasti tidak mungkin tercapai. Malahan untuk mencapai 50% dari sasaran juga agak sukar.
Tapi tak mengapa ini adalah sasaran tahun pertama mungkin tahun depan boleh ‘revise’ semula.
2) Mendapatkan berat badan 60 kilogram.
– Agak malang sebab tak tercapai sasaran itu. Pada ketika ini timbangan mengenai jarum 67kilogram.Walaupun pada awal tahun 2016 beratku 72 kilogram namun ia sepatutnya kurang dari itu. Aku pernah mencapai angka 62 kilogram satu ketika. Mungkin ini akibat kurang pengawalan makanan dan kurang senaman pada hujung-hujung tahun ni.
Apatah lagi stress kerja mula memuncak. Makan pun bertambah cuma aku sudah mula mengurangkan makanan manis selepas kadar gulaku agak tinggi ketika membuat pemeriksaan kesihatan tempohari.
3) Belajar berenang
– Alhamdulillah aku ada masuk kelas renang. Walaupun tidaklah menjadi expert namun aku dapatlah belajar teknik serba sedikit. Mungkin keyakinan tu belum cukup lagi terutama di kawasan air yang lebih dalam lagi. Kalau korang nak belajar berenang boleh cuba baca artikel Belajar Renang Gaya Dada atau dapatkan ebook ‘Panduan Renang’ ni.
Bagus belajar renang ni sebab dapat menyihatkan tubuh badan. Sekarang ni kalau aku pergi mana-mana hotel memang aku akan cari kolam renang untuk melayankan diri. Memang best woo..
4) Menyelesaikan baki PTPTN.
– Alhamdulillah aku berjaya menyelesaikan bayaran baki PTPTN. Agak lega sikit bila satu hutangku telah selesai.
5) Memasukkan insurans anak.
-Alhamdulillah sekarang ni anakku dah ada perlindungan Insurans dari Takaful. Inshallah. Sekira apa-apa berlaku mudah untuk kugunakan perkhidmatan insurans ini.
6) Projek Startup
– Malang. Masih tidak berjalan lagi. Aku dah setupkan team tapi nampaknya agak sukar. Mungkin ketiadaan MODAL menyebabkan masing-masing kurang berminat untuk memberikan sesuatu kepada projek ini.
Tapi tak mengapa, ia bukan menjadi kerisauan besar sebab aku ada perancangan lain untuk masa depanku.
7) Melabur
– Tahun lepas aku tidak ada melabur dalam bidang lain selain di CWA CIMB serta simpanan biasa. Inshallah aku akan cuba menceburi satu bidang pelaburan pada tahun hadapan.
8) Pendapatan pasif
– Setakat ini sasaran pendapatan pasif tiada jadi aku tak boleh nak sasarkan lagi. Cuma blog ligakampung.com telah mula berubah ke arah sukan dan blog OhPemandu.com telah ku leburkan bagi memberi tumpuan ke blog-blog yang kurasakan berpotensi.
9) Reunion
– Kalau ikutkan tahun ini ada perancangan tapi lebur juga. Hanya dapat jumpa beberapa orang kawan lama secara perseorangan sahaja.
10) Menghasilkan ebook
– AKu belum bersedia untuk menulis ebook baru. Cuma masih ebook ‘JOm Beli Rumah’ yang dihasilkan pada tahun 2015.
Itu serba sedikit azam tahun 2016. Selain itu, gigi depanku juga telah mula berkurang sebatang. Rapuh ketika di Guangzhou tempohari.K Untuk tahun 2017 pula, azamku adalah :-
1) Larian
– Untuk tahun 2017 aku akan mensasarkan beberapa perkara iaitu:-
a) Menyertai sekurang-kurangnya 7 acara larian.
b) Menyertai sekurang-kurangnya satu acara larian half marathon (21 kilometer)
c) Mampu mencatatkan masa berlari dalam acara 10 kilometer (7.00-7.30 min/km) manakala 21 kilometer bergantung kepada kemampuan. Hehhe. Juga mengharapkan mampu memecahkan tembok 7min/km pada tahun hadapan.
d) Mampu berlari 700 kilometer setahun. Aku mengurangkan sedikit dari sasaran tahun 2016 tapi tetap melebihkan dari pencapaian. Aku rasa ia tidak susah kalau aku betul-betul berdisplin. Mungkin pada bulan Ramadhan pun kena berlari di treadmill Gym berhampiran atau cuba berlari malam di kawasan taman.
2) Berat Badan
– Aku mesti mencapai juga berat ideal iaitu sekitar 58-61 kg. Apatah lagi kadar kolesterol ku masih melebihi yang sepatutnya. Ditambah pula dengan kadar gula yang tinggi. Aku perlu melakukan diet yang lebih konsisten.
3) Menyelesaikan baki hutang kereta
– Kalau ikutkan baki yang ku semak pada bayaran terakhir hutang kereta berjumlah RM6,979.00. Dan kalau diikutkan pembayaran bulanan sebanyak RM500 sebulan mungkin sukar nak dicapai tapi tak mustahil sebab mungkin boleh dapat rebate kalau bayar awal. Aku bertanya juga dengan kakitangan Hong Leong Bank dimana rebat sebanyak RM300 diberikan kalau setel bulan depan. Mungkin kalau tahun depan boleh dapat rebat yang lebih lagi.
Selesai baki hutang kereta secepat mungkin penting sebab aku ada perancangan lain ni.
4) Projek Startup
– Aku masih berharap agar ia dapat dilaksanakan tapi kalau tidak juga mungkin aku akan cuba MEMBESARKAN blog-blog ligakampung.com dan yourhealthblog.net untuk mencapai matlamatku.
5) Pendapatan pasif
– Aku ada merancang untuk mendapat pendapatan pasif samada melalui blog atau pendapatan lain.
6) Melabur
– Aku juga merancang untuk membeli sebuah hartanah kos rendah samada secara lelong atau subsale. Lokasi sedang diperhatikan dan aku juga telah mula mengenali beberapa ejen hartanah. Selain itu aku juga telah membaca buku Nota Hartanah dari Abang Ensem serta menghadiri seminar Hartanah. Sedikit sebanyak ilmu dapat dipelajari.
Aku ingin membeli sebagai pelaburan untuk sewaan atau homestay. Selain itu ianya juga sebagai aset untuk anak sulungku. Aku juga bercita-cita untuk memiliki aset rumah bagi setiap anakku. Inshallah. Korang nak cuba beli rumah ? Cuba beli rumah lelong dan dapatkan panduan melalui ebook ‘Beli Rumah Lelong’.
– Selain itu aku juga merancang pelaburan lain selain dari CWA CIMB seperti Simpanan Tetap atau lain-lain yang menguntungkan untuk jangka masa panjang.
– Isteriku juga merancang untuk membeli rumah sendiri. Kemungkinan akan dibeli juga menggunakan pinjaman perumahan.
7) Pembelian
– Aku rasa rumahku perlukan ‘aircond’ dan aku juga memerlukan laptop baru. Memang ini impian dah lama tapi ku tangguhkan atas faktor kewangan. Tapi kena usaha juga. Sasaranku sebelum bulan Mac aku mampu memasang aircond manakala aku mampu membeli laptop sebelum Julai.
– Kena lebih kuat dalam menetapkan sasaran untuk pembelian ni.
8)Menambah zuriat.
– Anak sulungku bakal berumur 2 tahun pada Mei 2017 dan sepatutnya aku boleh melakukan penambahan. Nak ikutkan awal tahun tapi memandangkan isteriku nak memberikan anak sulungku ekslusif susu badan cukup 2 tahun maka pada tahun hadapan adalah waktunya. Mungkin hujung atau awal tahun 2018 ku sasarkan anak kedua pula. Mohon doakan ye.
9) Blog
– Inshallah, aku akan terus menulis blog dan diharap blog Ligakampung.com akan terus menyinar. Diharap juga ada penulis-penulis lain sudi untuk mencurahkan idea dan ada peningkatan kualiti blog-blog yang kuhasilkan termasuk blog ini.
10) Melancong dengan keluarga
– Mungkin bukan di luar negeri tapi di dalam sahaja. Isteriku nak sangat pergi ke Cameroon Highland dan mungkin aku kena rancangkan juga percutian tu.
11) Sasaran 5 tahun
– Aku ada buat sasaran 5 tahun tapi kena melangkah setahun ke setahun dulu. Moga tahun 2018 perjalanan hidupku lebih mantap lagi. Ameen.
OO ye, alhamdulillah tahun ini bapaku sedang menunaikan umrah dan tahun lepas ibuku. Aku berharap agar ibu dan bapaku dapat menunaikan haji serentak pada tahun 2017 sebab tahun kelayakan adalah pada 2018. Mungkin boleh dapat keutamaan kalau ada kekosongan pada tahun ini.
Aku juga berdoa agar abang sulungku dapat sembuh dan abang kedua bertemu jodoh serta adik bongsuku mendapat kerja. Semoga ahli keluargaku menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. Inshallah.
banyak azam. harap tercapai semuanya 🙂
harap begitulah hendaknya
Semoga tahun depan pencapainnya lebih banyak ya.. hehe..
terima kasih.. macam tu harapnya
Semoga tuan lebih berjaya di tahun 2017.. Amin