Selamat Datang Tahun 2019 : Kenangan 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Esok tibanya tahun 2019, tahun baru yang menjelma. Menandakan berakhirnya 2018 yang memberikan kita suka dan duka. Banyak perkara yang berlaku pada tahun 2018.
Dalam negara Malaysia tercinta juga tercatat sejarah terbesar negara apalagi tampuk pemerintahan negara bertukar. Dan ia juga memberi kesan pada diriku. Walaupun tak banyak tapi tetiba je aku mula mengikuti perkembangan politik dengan lebih lagi.
Tapi aku bukanlah blogger politik jadi tak boleh cerita panjang sangat tentang ni. Jadi tatkala tahun baharu mendatang pasti ada impian ataupun azam untuk menjadi seorang yang lebih baik dari tahun sebelumnya.
Jadi aku juga ingin berkongsi sedikit sebanyak agar kita boleh jadikan pedoman dalam hidup ini.

Sebelum terus ke azam, elok aku bentangkan sedikit sebanyak kenangan 2018 yang boleh dikongsikan bersama.

1) Pengalaman pertama menjalani pembedahan tonsil. Ia merupakan satu pengalaman besar dalam hidupku. Korang nak tau panjang boleh baca entri ni. Selain jadi pengalaman pertama berada di dalam wad bedah, ia juga merupakan entri tertinggi yang mendapat komen dan dilawat.
Kalau taip ‘Pengalaman Pembedahan Tonsil’ di Google, blog ini mendapat tempat kedua( setakat 30.12.2018) iaitu di page pertama. Setakat hari ini, 60 komen di artikel tersebut menandakan bahawa blog ini berjaya menguasai keyword tersebut. Dari aspek lain pula, aku berjaya berkongsi pengalaman pembedahan tonsil itu dengan ribuan (agak-agak je) orang yang juga mengalami masalah serupa itu.
Yup. Pengalaman mengalami sakit tonsil itu juga memberi kesan lain terutama dari segi fizikalku. Jika dulu susah nak turun sampai 60 kg tapi selepas kejadian tu, aku mula maintain.

2) Triglyceride tinggi. Mungkin ramai tak faham tentang triglyceride ni. Ia merupakan salah satu dari kolesterol yang perlu direndahkan dalam tubuh badan. Aku mengalami masalah cepat letih dan selepas berjumpa doktor ia berpunca dari situasi itu. Artikel ni tak banyak sangat orang cari, mungkin keyword dia banyak dikuasai oleh artikel bahasa Inggeris.

Tapi korang boleh baca entri di sini. Disebabkan itu aku mula mengambil ubat rosuvastatin. Sekarang ni dah kurangkan ambil simvastatin. Tapi aku mula kurangkan. Nak elakkan bergantung kepada ubat. Tapi tu la makan minyak kadang-kadang tak jaga juga.

Apapun aku kena jaga dengan lebih ketat bagi mengelakkan masalah menjadi lebih teruk. Takut juga kalau kolesterol tinggi boleh mengakibatkan penyakit yang lebih serius.

3) Tahun pertama tanpa bapa. Sedikit janggal pada tahun ini. Bila balik kampung sudah tiada lagi susuk tubuh bapaku. Bapa yang pernah bergelar Tok Sidang Kampung Kesang Luar dan cukup dikenali di kampungku. Artikel Selamat Tinggal Bapaku akan menjadi kenangan seumur hidupku.

4) Pindah Rumah dan berhadapan isu perabot. Tahun ini selepas hampir 2 tahun isteri membeli rumah, akhirnya kami berpindah juga. Bukan sahaja berpindah rumah, kami juga berhadapan situasi menyakitkan apabila berhadapan dengan kedai perabot yang tidak bertanggungjawab. Korang boleh baca ringkasan pengalam burukku dengan kedai perabot tersebut di sini. Dan doakan supaya aku dapat mencapai hajat menghasilkan buku mengenai peristiwa 3 bulan ini.
Amin.

5) Bermain bola sepak di Stadium Hang Tuah. Aku yang kaki bangku ni tak pernah terfikir nak main bola di Stadium tapi nampaknya merasa juga. Walaupun main sekejap je tapi merasa lah kali pertama main bola di stadium bersejarah di Melaka,Stadium Kubu. Teringat lagi masa zaman sekolah menengah , tengok budak sekolah main di final masa tu. Kita menjerit je la mampu. Nak main hanya dalam mimpi je masa tu.
Dijangka pada tahun depan pun ada friendly kat situ. Harap-harap lepas ni ada lagi main dekat stadium yang lebih baik. Mungkinkah Stadium Hang Jebat?

6) Rugi ribuan ringgit dalam pasaran saham. Ye, pada tahun 2018 aku mula memberanikan diri dengan membeli saham. Bulan November merupakan bulan paling teruk aku mengalami kerugian. Malahan aku melakukan transaksi lebih dari 20 kaunter pada bulan ni.Tapi aku tak risau sangat sebab masih dalam proses pembelajaran. Lagipun memang ramai yang rugi pada tahun 2018. Siapa yang layan trade mesti tau betapa teruknya pasaran saham pada hujung tahun. Kalau korang nak tau serba sedikit, boleh baca artikel lama aku disini.
Tahun ni juga aku menyertai beberapa bengkel mengenai saham. Alhamdulillah nampak beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan. Takdelah macam mula-mula dulu main beli je ikut buycall. Sekarang ni dah ada indikator yang boleh digunakan untuk masuk dan tau bila nak keluar. Itu yang penting dalam saham ni. Tak kiralah anda ada degree dalam pelaburan atau kewangan sekalipun. Kalau tak pandai uruskan portfolio memang terlungkup jadinya.

Itu yang aku boleh ingat serba sedikit pada tahun 2018 ni. Pada tahun 2019 pula aku menetapkan beberapa azam untuk dicapai. Antaranya :-

1) Aku nak mencuba acara larian half marathon atau 21 kilometer. Buat masa terdekat mungkin tak mampu. Aku nak cuba tengok event pada hujung tahun 2019 nanti. Nak kena mencuba sesuatu yang sebelum ini tidak mampu dicapai. Dari segi acara larian, aku sasarkan untuk sertai dalam 5 acara tahun depan. Ini perlu bagi meningkatkan motivasi dalam acara larian. Lagipun tahun lepas aku hanya menyertai 2 sahaja acara larian.
Selain itu aku juga mensasarkan untuk cuba mencapai sasaran 500 kilometer setahun. Kalau ikutkan tahun sebelum ni aku dah buat sasaran ni tapi tak tercapai. Banyak sangat hal yang menganggu. Inshallah sekarang ni aku dah pakai jam Olike Neo yang ada GPS dalaman, mungkin dapat membantu. Kena buat jadual yang betul-betul membantu. Lagipun nanti anakku akan bersekolah di PASTI Alor Gajah dan emaknya yang akan ambil lepas balik sekolah. Jadi petang lepas balik kerja aku akan ada free. Jadi mesti cuba juga untuk berlari setiap minggu.

2) Memastikan buku dapat diterbitakan. Sekurang-kurangnya sebuah buku dapat dipasarkan pada tahun hadapan. Tapi aku target ada 3 buah buku. Aku rasa elok aku kongsi tajuk (mungkin akan berubah)
a) Jom Beli Rumah – Buku panduan untuk mereka yang ingin membeli rumah. Sebagai seorang yang bekerja di dalam industri ini dan pernah berpengalaman secara terus menjual rumah elok kiranya aku berkongsi ilmu dan pengalaman. Lagipun banyak isu-isu yang boleh aku kongsikan melalui sebuah buku. Kalau nak harapkan dalam blog mungkin terbatas. Ooo ye, korang kalau rajin boleh like page Jom Beli Rumah. Mungkin korang boleh berkongsi sama ilmu kat sana.
b) Penipuan Kedai Perabot – Pengalaman pahit aku berhadapan dengan kedai perabot yang mempermain-mainkan. Bagaimana aku akhirnya berjaya mendapat semula barang yang diimpikan dan memotong bayaran. Selain itu aku juga akan berkongsi tentang kaedah dari segi undang-undang yang boleh dilakukan bagi menghadapi situasi tersebut. Aku juga akan berkongsi beberapa perkara yang perlu dilakukan supaya korang tak mengalami masalah yang sama.
c) Kisah Tok Sidang – Aku ingata nak buat ala-ala novel mengenai kehidupan arwah bapaku. Bagaimana dia menjadi seorang ketua kampung dan dalam masa yang sama perlu mencari rezeki untuk kehidupan anak-anaknya. Aku sedang berusaha untuk mencari ‘feel’ camne nak buat.

3) Meningkatkan traffik blog. Aku tak boleh nak target dari segi pendapatan dulu. Jadi pada tahun 2019, aku akan berusaha untuk menjadikan blog-blog utamaku mampu memecah tembok 1K traffik bagi setiap bulan. Sekarang ni, hanya blog Melakacool(itupun JV) dan blog ini(2K sebulan) yang mampu melepasi angka 1K setiap bulan.Aku jangkakan blog Ligakampung.com mampu mencapai traffik 1K(sekarang 8++_ dalam tempoh 1-2 bulan ini.
Blog lain aku jangka boleh cecah 1K sebulan dalam bulan Jun ke atas. Inshallalah. Aku sasarkan traffik dulu sebelum memikirkan tentang pendapatan. Bila dah lepas 1K baru boleh berfikir tentang duit. Sekarang ni kejar dulu traffik untuk mendapatkan peluang.
Selain itu aku juga berusaha agar Facebook Page bagi Ligakampung mampu melepasi angka 1K like sebelum Jun 2019. Doakan ye..

4) Mendapat untung dalam pasaran saham. Aku tak sasarkan tinggi sangat memandangkan ramalan pakar ekonomi yang pasaran saham masih teruk pada tahun 2019. Cuma aku harapkan tahun 2019 sinar lebih baik. Aku tak mengharapkan untuk ribuan ringgit dalam sebulan. Cukup kalau dapat puluh ringgit sebulan dulu. Mungkin nampak tak berbaloi tapi ia sebagai tempoh pembelajaran. Tak perlu nak tamak. Yang penting sekarang ni kena buat kajian untuk mencari indikator yang sesuai.

5) Mendapat seorang lagi anak. Fatih dah pun berumur 4 tahun. Nampaknya perlu ada kawan. Kalau ikutkan aku nak anak perempuan tapi tak kisahlah apa jantina yang diberi. Buat masa ni belum berjaya lagi. Kena usaha keras pada tahun hadapan ni.

Aku rasa 5 perkara ini merupakan perkara yang penting untuk ku hadapi. Bagaimana pula dengan korang pula? Mesti ada kenangan 2018 dan sasaran 2019 kan?

One thought on “Selamat Datang Tahun 2019 : Kenangan 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.