Selamat Tinggal Bapaku

Tanggal 15 Disember 2017 atau 27 Rabiulawal 1439H akan menjadi kenangan dalam hidup keluargaku. Pada tarikh ini seorang keluarga telah meninggalkan kami sekeluarga.
Mohamad bin Hamid, itulah nama bapa kami yang akhirnya menemui penciptanya pada hari Jumaat, jam 1.45 pagi. Selepas terlantar di katil beberapa bulan, akhirnya Allah mengambil nyawanya di Unit Kecemasan di Hospital Jasin.
Alhamdulillah, pemergiannya senang dalam keadaan yang tenang berada di sisi ibu dan abangku. Aku juga sempat berada di sisinya beberapa minit sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Aku tak sempat melihat pada saat-saat terakhir sebab mengambil adik perempuanku yang menumpang tidur di rumahku.  Terus sahaja menelefon adik perempuan yang berada di Putrajaya serta adik lelakiku di Klang.
Kalau korang follow blog ni mungkin terperasan yang bapaku sering masuk ke hospital akibat dari jantungnya yang mengalami masalah. Bermula dari episod beliau masuk ke IJN selepas didiagnosis mempunyai 3 saluran tersumbat hinggalah beliau masuk ke Hospital Serdang pada awal tahun ni.

Alhamdulillah perjalanan beliau ke tempat persemadian pun agak mudah. Selepas bapa disahkan meninggal dunia, aku dan abangku menunggu SOP yang dilakukan oleh pihak hospital. Kira-kira jam 2.30 pagi bapaku dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Kesang Luar yang juga tempat tinggalnya.
Sampai di rumah ada jiranku, Pak Tai membantu kami menguruskan segala isu. Aku juga menghubungi Pengerusi JKKK, Haji Zainal serta Tok Sidang Ai.Mungkin pagi sangat dan mereka tak memberi maklumbalas pada ketika itu. Hanya pada waktu pagi baru dapat info. Pagi tu abangku pergi ke Masjid dan berbincang dengan pihak Masjid.
Melalui perbincangan, jenazah akan disolat dan dikebumikan selepas solat Jumaat. Kalau ikutkan, aku nak je selesaikan awal tapi kena ikut lah pendapat mereka yang lebih arif tentang hal-hal ni.

Kira-kira jam 10.00 pagi kami memandikan jenazah bapaku. Sebelum itu ada orang bertanya dan mempersoalkan kenapa kebumi lepas solat Jumaat. Adoi.. Aku harap orang lain kalau ada isu cam ni tolonglah jangan pertikaikan. Biar yang lebih arif buat kerja. Janganlah diganggu keputusan yang telah dilakukan oleh ahli keluarga. Ahli keluarga si mati sedang sibuk untuk melakukan pengurusan jenazah jadi jangan menambah stress mereka ye.
Ada juga yang bertanya ‘ tak mandi kat Hospital ke?’ . Soalan ini pun agak kelakar. Setau aku yang jahil ni, biasa mandi kat hospital kalau ada penyakit berjangkit sahaja. Lagipun sebagai seorang anak, memandikan jenazah bapa adalah benda yang mesti HENDAK dibuat. Bagi sesiapa yang masih mempunyai ibubapa, MESTI join Mandikan jenazah ibubapa anda. Bukan susah sebab biasanya Imam/Pegawai Syarak akan buat yang penting manakala kita melakukan perkara mudah.
Sedih kalau kita tak dapat berbakti kepada bapa sebaik-baiknya. Jadi jangan ye tanya soalan ni sebab ianya satu soalan yang tak patut ditanya. Ketika memandikan mayat baru nampak beberapa kawasan luka bapa dan ketika itu terasa bahagianya membersihkan bapa untuk kali terakhir. Selain aku, abang, adik lelaki serta adik ipar menyertai proses memandikan jenazah itu.

Ketika mandi tu ada juga isunya bila ada orang luar yang bercakap agak kuat. Bengangnya sebab suara tu dikenali dan bukanlah orang yang kurang ilmu agama. Tapi takpelah mungkin beliau terlupa tentang adab-adab ketika menziarahi kematian.

Bagusnya pihak masjid telah menyediakan semua peralatan dan kelengkapan bagi jenazah. Jadi tak perlulah kami nak mencari barang-barang tu. Tiba-tiba aku terasa nak jadi IMAM pula di masa akan datang.Mungkin dapat membantu ahli keluarga memandikan dan mengkafankan jenazah.

Bagi memberikan peluang kepada keluarga terutama wanita, jenazah juga disolatkan di rumah. Sebab kat masjid mungkin kaum wanita tak dapat sertai. Kami juga diberikan peluang untuk memberikan penghormatan terakhir kepada bapaku. Masa ni mula sayu. Ada beberapa keadaan yang sayu. Selepas itu jenazah bapa di pikul ke kubur iaitu kira-kira 500 meter dari rumah. Mula-mula agak risau takut takde orang nak bantu pikul tapi alhadulillah ada juga anak buah yang membantu kami.

Pikul keranda bapa ke masjid dengan dibantu oleh sepupu serta kenalan bapaku

Sampai di masjid kira-kira jam 12.00 tengahari. Nak balik memang tak berbaloi jadi kami lepak seketika di masjid sebelum menunaikan solat Jumaat. Alhamdulillah selepas solat Jumaat, solat jenazah dibuat dan agak banyak saf memenuhi. Ramai yang datang termasuk rakan sepejabat serta rakan arwah bapaku.
Selepas hantar ke kubur aku, adik serta adik ipar masuk ke dalam lubang kubur. Walaupun ada sedikit kekeliruan ketika meletakkan mayat namun ianya dilaksanakan dengan baik. Bacaan talkin pun tak panjang sangat. Ketika habis je talkin, turun hujan mencurah bagaikan tau tentang pemergian salah seorang yang berjasa pada kampung Kesang Luar ini.

Bacaan talkin oleh imam Kampung Kesang Luar

Untuk makluman, bapaku merupakan mantan di Kampung Kesang Luar. Kebetulan pula, disebelah kuburnya pula adalah mantan Pengerusi JKKK Kampung Kesang Luar ketika bapaku berkhidmat.

Menziarahi kubur bapa sehari selepas hari kematian

Alhamdulillah selamat kami menunaikan tanggungjawab sebagai anak. Bila dilihat kembali Allah memang sayang pada bapaku dan banyak memberi ruang. Antaranya :-

1) Memberikan kesempatan beliau menunaikan haji pada tahun ini. Kalau ikutkan jadual, giliran bapa dan ibuku adalah pada tahun 2018 namun beliau mendapat panggilan pada tahun ini.
Selain itu beliau juga lepas dalam saringan kesihatan walaupun selepas pulang doktor pakar dari Hospital Jasin komplen mengenai perkara tersebut.
Walaupun bapa banyak menghabiskan masa di Hospital Tabung Haji di Mekah namun beliau berjaya melakukan perkara yang wajib dengan bantuan pihak tabung haji.
Kalau ikutkan, doktor pakar sebelum ini telah menyatakan keadaan bapa kritikal pada awal tahun hingga di bawa ke Hospital Serdang. Tapi dengan kuasa Allah, beliau masih mampu untuk menunaikan haji.
Apabila pulang barulah kesihatan beliau merosot sehingga ke akhir hayat.

2) Terdapat tanda-tanda awal tentang pemergiannya. Ibuku memberitahu bahawa bapa banyak kali meminta maaf serta menyebut ‘AKu Nak Balik’. Selain itu bapa juga terasa haus dan meminta air. Sempat aku memberikan air yang diberi oleh jururawat tapi tak cukup sebaliknya abangku dapat menegukkan air kepada bapaku.
Doktor di Hospital Jasin juga hampir nak membawa ke Hospital Melaka tetapi mak ku menahan seketika sebelum akhirnya kadar nadi semakin merosot dan tanda-tanda akhir bermula. Aku juga perhatikan nadi dari 90 ke 40. Aku melihat juga, bapa tidak mencungap-cungap sebaliknya nafasnya semakin perlahan-perlahan.
Alhamdulillah, pemergian di Hospital Jasin memudahkan urusan kami sekeluarga.

3) Terdapat bantuan seperti membekalkan katil Hospital oleh Ahli Parlimen Jasin. Walaupun katil tersebut hanya digunakan dalam seminggu lebih namun ia bermakna dalam saat-saat akhir bapa yang tak boleh bergerak.

Datuk Ahmad Hamzah ,Datuk Ng Choon Koon , Haji Zainal (Pengerusi JKK) menziarahi bapa yang menerima sumbangan katil hospital

Semoga roh Allahyarham Mohamad bin Hamid dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Inshallah .
Selamat tinggal bapaku. Selama 39 tahun aku hidup banyak sungguh dosa dan hutangku padamu. Tak mampu ku nak balas. Hanya doa jadi hadiah untukmu.

‘ MOHAMAD BIN HAMID

26/04/1944 – 15/12/2017′

Aku pula bagaimana agaknya? Wallahualam.

3 thoughts on “Selamat Tinggal Bapaku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *