Assalamualaikum dan salam sejahtera semua
Macam tahun-tahun sebelumnya apabila menuju ke penghujung tahun aku akan mengikuti program sasaran kerja tahunan 2020 untuk menilai kembali prestasi tahun 2019 serta melakukan perancangan pada tahun hadapan.
Untuk tahun ini, Hotel Awana Genting Highlands menjadi lokasi untuk bengkel tersebut. Bunyinya menyeronokkan tapi sebagai Ketua Unit yang perlu membentangkan prestasi unit, ia bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.
Apatah lagi berhadapan beberapa isu yang memeningkan kepada pada tahun ini, pasti ia menjadi punca agak berat nak ke sana. Tapi nak buat camne, tanggungjawab mesti diteruskan dan perlu juga pergi ke sana.
Aku dan rakan sepejabat bergerak dari Melaka jam 10 pagi. Sempat singgah ke Restoran Lemang To’ki di Bentong untuk menikmati makan tengahari. First time singgah ke sana dan kagum juga melihat ramai yang singgah disini.
Makananannya, hm.. rasa macam kat Melaka je rasanya cuma ada lemang beserta rendang ayam yang agak menarik serta suasana restoran ini. Ada juga mengimbau kenangan sebab meja makan adalah hasil dari meja mesin jahit yang diubahsuai.
Tetiba kaki terasa ada benda di bawa rupanya tempat pijak mesin jahit SINGER.. Memang dulu mak ada beli satu mesin jahit jenama Singer jadi bila tengok kembali memang terkenang le zaman dulu.
Lepas beredar kami tiba ke Hotel Awana, Genting Highlands kira-kira jam 3.30 petang. Tengok hotel ni memang agak klasik dan menurut kawan-kawan, Hotel Awana adalah antara hotel terawal yang dibangunkan oleh pengasaskan iaitu mendiang Tan Sri Goh Tong.
Sampai je kat sana cubalah mencari bilik untuk bengkel tersebut. Memandangkan aku adalah orang yang bertanggungjawab dalam penyediaan laptop maka kenalah bersiap sedia lebih awal. Lepas habis je tengok tu, pergi singgah sekejap ke Genting Highland Outlet Premium (GPO).
Pergh, harganya agak mahallah juga. Tapi bawalah balik hoodie dan juga tracksuit untuk kegunaan program Team Building nanti. Malam tu program dimulakan dengan pembenatangan oleh Unit Kewangan. Memang Unit Kewangan adalah yang paling utama dalam jabatan untuk menilai kemampuan jabatan.
Memandangkan jabatan aku ni tiada geran dari kerajaan, maka kami perlu menjana pendapatan sendiri. Adalah beberapa perkara dibentangkan oleh mereka.
Pembentangan berlangsung dengan baik sehinggalah masuk kepada pembentangan oleh Unit aku. Dan aku lah yang jadi kaki bentangnya.. Ooo ye, aku juga merupakan pembentang yang terakhir dan seperti dijangka adalah kena sengat sikit dengan boss.
Walaubagaimanapun melalui bengkel ini, aku dapat membawa beberapa perkara. Antaranya :-
1) Aku menunjukkan Gantt Chart iaitu satu jadual pelaksanaan kerja-kerja bagi unit aku. Aku perlu membuat Gantt Chart bagi memastikan proses-proses yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sebelum ini banyak kerja-kerja unit aku tak dapat dilaksanakan dengan jayanya disebabkan tiada proses ini.
Dalam tempoh 1 hari aku menjumpai Libre Projet iaitu software yang boleh digunakan untuk membuat Gantt Chart tersebut.
2) Berdasarkan Gantt Chart tersebut aku akan membahagikan pelan kerja pada 4 suku tahun iaitu Jan-Mac (suku pertama), April-Jun (suku kedua), Julai-September (suku ketiga) dan Oktober- Disember (suku keempat).
Dalam suku tersebut juga aku membahagikan kerja-kerja mengikut keutamaan iaitu program pembelian, kursus dan lawatan dilakukan pada suku pertama , program pembangunan sistem dimulakan pada suku kedua, proses kerja-kerja sebutharga pada suku keempat manakala proses suku keempat adalah untuk melakukan proses bajet serta menyelesaikan kerja-kerja tertunggak.
3) Pembahagian kerja. Aku mendapat idea dari seseorang supaya aku melakukan pembahagian kerja kepada kakitangan bawahan dengan lebih tegas. Ye, selama ini banyak kerja yang aku tanggung sendiri menyebabkan banyak yang tak siap dan terlepas pandang. Pada tahun 2020 aku akan menyerahkan tanggungjawab yang besar kepada 2 kakitangan di bawah. Sudah tiba masanya untuk mereka juga mengenal erti tanggungjawab bagi mengurangkan beban dan bebal kepada diriku.
Aku akan menyusun kembali tugas-tugas mereka dan kini mereka perlu lebih bersedia. Tugas mereka akan lebih berat berbanding tahun sebelumnya yang mana banyak mereka hanya buat mengikut arahan sahaja. Selepas ini, mereka kena juga berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Aku harap mereka membaca artikel ini sebelum aku menerangkan perkara ini dengan lebih lanjut.
Aku akan meniru strategi yang digunakan oleh Ketua Unit lain yang memberikan kepercayaan kepada kakitangan bawahannya. Berbeza dari diriku yang banyak membawa beban seorang diri. Maaf ye, tahun hadapan LNPT akan dilakukan dengan lebih tegas. Maaf, ini perlu aku lakukan bagi mengelak aku mengalami ‘depression’ sebab terlalu menekan diri sendiri.
4) Keutamaan. Inshallah tahun hadapan aku akan memberikan keutamaan kepada sasaran kerja sendiri. Kepada unit lain, aku akan cuba berusaha agar mereka berdikari sendiri. Sebagai contoh, kalau ada meeting yang mana mereka sebagai Urusetia, jadilah juga urusetia menjaga slide presentation. Tak perlulah nak mengharapkan unit IT kalau setakat nak tunjuk PDF atau Microsoft Word sahaja.
Ia akan menganggu masa kami yang hanya ada 3 orang sahaja dengan SKT yang melebihi 10 tugas tu. Itu belum lagi terpaksa menjadi Pegawai Rekod Jabatan yang perlu hadir ke Kursus yang menganggu kerja-kerja hakiki. Bayangkan tahun 2019 sahaja hampir 20 hari berkursus, bukankah ianya satu kerugian masa untuk ku. Sudah pasti tak dapat nak cover masa yang diambil tu.
Sekarang ni aku mula merangka strategi untuk berbincang dengan kakitangan.Aku perlu melakukan perkara tersebut untuk maju lagi ke hadapan. Lagipun aku ada impian lain. Mana tau impian aku tercapai, mungkin akan ku lepaskan jawatan ini sekiranya impian tercapai.
Ooo ye, cukup celoteh tu. Aku sempat juga naik kereta kabel dan singgah di Genting Highlands Theme Park. Memang cuaca agak sejuk di sana ditambah lagi dengan hujan yang datang melanda. Apapun, banyak yang aku dapat dalam bengkel kali ini. Kadangkala ia bukan datang dari sumber yang rasmi tapi melalui kaedah lain.
Sedikit gambar yang ku ambil dan ku curi dari kawan-kawan..