Selamat Tinggal Utusan, Kosmo

Hari ni nampaknya media yang cukup lejen di Malaysia iaitu Utusan Malaysia telah menutup operasinya. Syarikat yang mula beroperasi pada 80 tahun yang lalu akhirnya menemui noktahnya pada hari ini.
Memang ianya menjadi kenangan terutama kepada pembaca setianya. Macam aku, walaupun tidaklah melanggan suratkhabar Utusan ataupun Kosmo ni tapi kenangan penerbitan ini memang tersemat dalam diri ini.
Seingat aku, arwah atukku memang akan membeli setiap hari suratkhabar Utusan Malaysia ni dulu. Malahan arwah bapaku juga sering membeli suratkhabar Utusan sebagai warkah untuk bahan bacaan. Sedikit sebanyak ianya memberikan bahan-bahan berita terkini yang menjadi ikutan terutama kepada pembaca akhbar berbahasa Melayu ini.
Aku pula selalu mengikuti akhbar Kosmo terutama di dalam saluran online. Agak malang bila akhbar ini terpaksa melabuhkan layarnya tanda kedai terpaksa ditutup atas kegagalan syarikat untuk beroperasi lagi.
Pada pendapat aku yang bukan orang perniagaan ini, kegagalan Utusan banyak disebabkan oleh campur tangan politik. Maaf cakap tapi bila akhbar bertunjangkan orang politik ni ia akan mengalami kesukaran apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan.
Ini yang berlaku dimana sebelum ini Utusan banyak mendapat projek dari kerajaan terdahulu. Bayangkan, perubahan kerajaan menyebabkan Utusan rugi dari segi penggunaan akhbarnya di kalangan sekolah-sekolah yang melanggan.
Menambah perit bilamana perubahan kerajaan menyebabkan ketua-ketua yang berpaksikan politik juga telah makin kering kantungnya sekaligus sukar membantu syarikat akhbar tertua di Malaysia ini.

Selain itu, industri akhbar yang menggunakan media cetak kini semakin lenyap. Kita dapat lihat banyak syarikat penerbitan gulung tikar dengan kemajuan teknologi yang memberikan ruang untuk berita-berita dibaca tanpa bayaran.
Sudah pasti industri ini mengalami kesukaran untuk membayar gaji dan kos-kos operasi tanpa pendapatan yang baik. Kalau kita ingat, dulu Utusan bukan hanya bergantung pada suratkhabar sahaja. Mereka juga memiliki rangkaian majalah hiburan seperti URTV, Mangga dan sebagainya.
Namun majalah tersebut telahpun hilang dari radar bertahun lamanya. Ia sedikit sebanyak menunjukkan betapa media konvensional semakin lebur di arus perdana kini. Tidak nampak sangat Utusan cuba untuk mempertingkatkan kemampuan mereka dalam bidang teknologi.
Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada perkembangan dan pendapatan syarikat. Sepatutnya mereka sudah mula menceburi media teknologi dengan lebih pesat dengan mengambilalih beberapa portal di luar sana.
Cuba lihat Media Prima pun dah mula memandang portal-portal yang semakin popular dengan membelinya. Kan ke sedikit sebanyak dapat tempat. Sepatutnya Utusan dah boleh risik blog Ligakampung.com dulu (hahahaha. gurau). Boleh le aku jual dalam RM2-3 juta masa tu.
Mungkin itu yang tidak dilihat oleh Utusan ketika dahulu dimana terlalu bergantung kepada kepopularitian Utusan.

Mungkin juga pengurusan Utusan tidak cekap dalam membentuk syarikat terulung ini. Meskipun dengar berita Syed Mokhtar akan mengambilalih namun adakah ianya akan berjaya? Aku pun tak tau nak kata apa. Aku bukan pakar dalam bisnes ni. Harap ia mampu bangkit kembali dengan cara yang lebih baik sebagai medium untuk menyampaikan berita dalam bahasa Melayu.
Okaylah cukup serba sedikit ngomel aku pasal Utusan. Kalau ada duit, mau juga aku beli dan bangunkan semula ni. Tapi apakan daya, duit sekadar ribu-ribu je…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.