Minggu yang agak sibuk. Bermula dengan penyertaan sebagai ‘penjaga slide’ pada bengkel Melayu Melaka Maju, Konvensyen Memperkasa Ekonomi Melayu Negeri  Melaka 2015. Memang banyak cerita pada konvensyen tersebut tapi tak boleh ditaipkan disini.
Cukup sahaja ianya banyak input yang tak tahu samada boleh direalisasikan atau tidak oleh jabatan kami dan juga jabatan berkaitan. Hari Isnin dan Selasa terlibat dengan konvensyen cukup meletihkan. Menyandang laptop nampak mudah tapi kalau membawanya berjam-jam memang menyakitkan badan.
Nasib baik ada isteri, boleh tolong urut-urut sikit. Hehehe..

malaysia-day-2012

Hari Rabu, cuti Hari Malaysia kena jadi Mr. Mama lagi sebab isteri kerja separuh hari untuk ‘cover’ jam kerja yang telah dibazirkan sebab mendapatkan susu badan. Memang letih jaga bayi berumur 4 bulan ni. Apatah lagi, sudah semakin aktif dan suara semakin nyaring apabila menangis. Tapi gembira bila lihat senyuman manisnya. Memang hilang penat menjaganya.

Bulan ini ada cabaran apabila hosting yang meletakkan blog ini berada dalam paras bahaya. 20.9 merupakan tarikh penamat untuk hosting itu. Poket pula kering, nak cari mana tak tau. Nak guna duit syarikat rasa tak patut pula. Nasib baik, bulan ini keluar GAJI awal. Dapatlah meng’cover’ sementara dengan membayar yuran bulanan hosting tersebut. Ooo, korang nak tau aku guna hosting apa?
Kalau ligakampung.com aku gunakan SEMPOIHOSTING.COM , untuk blog ini beserta 3 blog lagi ku gunakan DATAKL.COM .Bayaran menggunakan Maybank2U sebanyak RM153.70. Mahal ke Murah ? Entahlah aku pun tak tau nak jawab tapi secara amnya lebih murah dari hosting yang lagi satu tu. Lagipun setelah bertahun-tahun gunakan DataKL ni, aku kurang mengalami masalah. Support pun agak pantas juga.

datakl
Invois penerimaan bayaran dari DataKL

Jadi buat apa aku nak pening-pening cari hosting lain kan. Lainlah kalau banyak hal berlaku kat hosting ni, baru kena pindah kan. Harap-harap DataKL dapat memberikan perkhidmatan sebegini sampai bila-bila. Hehehe. Dan juga diharap blog-blog di bawah hosting DataKL semakin maju sehingga mampu Ku tersenyum di tahun-tahun berikutnya.

Untuk entri kali ini aku nak tambah sikit. Selain dari cerita aktiviti, aku juga nak BERKONGSI mimpi untuk renovasi rumah. Untuk pengetahuan korang, AKU telah membeli sebuah rumah teres setingkat yang keluasannya hanya 121meter persegi. Walaupun tidak besar mana, tapi cukuplah untuk melayari kehidupan bersama seorang isteri dan seorang anak buat masa ini. Buat apa nak beli rumah besar-besar kan? Rumah kecil ni pun penat nak kemas.
Kadang-kadang sebulan sekali pun belum tentu dapat mengemas. Cukup sahaja dengan rumah yang berkos RM85K ni untuk kehidupanKu buat masa ini. Inipun ada tunggakan cukai Pintu dari Majlis Perbandaran Jasin. Nasib baik baru setahun je, kalau lebih mau kena sita rumah ni. Hahhahaha.
Sudah lari topik pula ni. Berbalik kepada tajuk yang dinyatakan, bagi kita yang membeli rumah, memang nak sangat RENOVATE RUMAH tapi keterbatasan dari segi kewangan melambatkan proses tersebut. Tapi aku mempunyai mimpi untuk buat renovasi. Antaranya ialah :-

1) Renovasi pagar dimana pagar 2 pintu ni ingin ku gantikan dengan pagar tarik sliding. Bukan apa, ia dapat membantu untuk aku memasukkan 2 kereta dalam garaj rumah dalam satu masa. Walaupun sekarang ni boleh masuk 2 kereta tapi terpaksa melakukan parking serong. Itupun nasib baik kereta Viva, kalau sedan memang kenalah tinggal kat luar satu kereta tu.
Selain itu, aku juga perlu men’simen’kan ruang di hadapan rumah tu. Kena digantikan dengan lantai tile. Memandangkan ruang kecil, agak mustahil kalau nak menanam sebarang tumbuhan di situ.

2) Menukar paip shower. Kalau ikutkan design bagi saluran paip tu kat dalam. Memang kalau nak betulkan kena pecahkan sikit dinding tu. Agak sukar walaupun sekadar nak tukar pili. Kalau mampu memang nak buat renovation kat dalam tandas dan bilik air tu. Kalau ada kemampuan nak panjangkan sikit bilik air yang sedikit sempit tu.

3) Pasang kabinet dan memperbesarkan dapur. Ruang dapur di rumah ni memang agak sempit dan ada sikit ruang di luar tu. Kalau ada duit nak pecahkan sikit dan lebarkan sikit kawasan dapur tu. Bolehlah dapat ruang sikit. Takdelah macam sekarang kalau jalan memang terselisih punggung.
Bilik hujung ni boleh dikecilkan untuk berikan ruang lebih kepada dapur ni. Sambil tu nak buat kabinet dapur supaya senang untuk meletakkan barang-barang dapur.

4) Pasang awning di depan rumah. Penting untuk menutup ruang di hadapan rumah bagi mengelakkan kepanasan atau hujan. Selain itu, nak juga pasang tinted kat cermin sliding pintu dan tingkap. Selain dari menapis cahaya dapat juga mengelakkan dari diintai oleh penjenayah haprak.

5) Pasang sistem solar/ angin dirumah. Kalau ada kemampuan nak cari panel solar atau angin bagi menggantikan tenaga elektrik yang dibeli dari TNB ni. Tak dapat cover 100% tenaga dapat 80% pun cukuplah. Banyak boleh jimat tu. Cuma sekarang ni dengarnya panel solar masih tidak mampu milik lagi.

Tenaga Angin untuk menjana elektrik
Tenaga Angin untuk menjana elektrik

Tentang tenaga angin tu, kalau ada pakar-pakar yang boleh menjanakan angin menjadi tenaga pun bagus juga. Kadangkala cuaca dengan angin yang kuat boleh membantu mendapatkan tenaga kinetik yang mampu menjana tenaga elektrik.

6) Pasang sistem penapisan air hujan. Korang tau tak bahawa sistem penapisan air hujan atau SPAH ini semakin popular kini ? Dengan  taburan hujan di negara agak tinggi, jadi menggunakan kaedah sistem penapisan air hujan ni mampu menjimatkan bekalan air. Air hujan ini ditapis dan boleh digunakan untuk basuh kereta, siram pokok, air flush dan basuh pinggan. Tak mustahil satu hari nanti kaedah air hujan boleh digunakan untuk minum dan makanan. Tidaklah membazir air dari titisan awan tu.

7) Menukar sinki tradisional sediada. Kalau boleh nak buat renovasi sinki tradisional jadi lebih moden sikit. Nampak lebih menarik dan menyeronokkan kalau berada dalam tandas. Dengan hiasan menarik dan rekabentuk moden pasti memberikan ketenangan berada di rumah.

modern sinki
Sinki Modem yang cukup menarik

8) Mengecat keseluruhan rumah dengan cat yang menyegarkan.Sekarang ni ada beberapa kawasan sahaja yang dilakukan kerja-kerja cat. Almaklumlah, masa dan kemampuan semakin terbatas. Tapi kalau mampu memang nak buat sebab projek cat terbengkalai selepas isteri mengandung tempohari. Kalau boleh nak juga cat di luar rumah supaya lebih cantik lagi.

9) Mengubah pintu, Mungkin pintu sliding door depan ditukar kepada pintu kayu kukuh. Jadi tidaklah risau sangat dengan kebarangkalian pintu sliding tu pecah. Lagipun lebih senang untuk dijaga berbanding guna sliding door tu.

10) Menutup siling rumah. Sekarang ni ada siling dan takut juga kalau jatuh. Mungkin nak tutup terus dan tinggalkan beberapa lubang yang perlu sahaja.

Tapi kalau ada banyak duit, mungkin nak beli je rumah sebelah yang tidak diduduki ni. Dapat beli rumah tu boleh pecahkan jadi satu. Memang besarlah kalau dapat beli rumah sebelah ni. Walaupun tampak sukar namun tak mustahil beberapa renovasi yang dimimpikan boleh dihasilkan. Korang kalau nak tolong boleh beli ebook Panduan Dekorasi ni. Mana tau kalau ramai yang beli, aku pun dapat komisyen affiliate dan kalau ramai beli bolehlah kumpulkan untuk renovasi rumah kesayanganku ini.

7 Replies to “Perbaharui hosting, Renovasi rumah yang diimpikan”

  1. Asalkan pulangan daripada menulis blog tu lebih besar daripada bayaran kepada syarikat hosting, itu paling penting kot. Kalau setahun kena bayar dalam RM150++ tapi dalam setahun tu jugak, beribu-ribu dah berjaya dihasilkan, jadi murah sangat dah tu

Leave a Reply to sabree hussin Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.