Pergh hampir sebulan aku tak bersiaran di blog personal ni. Bukan apa, tak tercapai akal nak menaip kat sini walaupun masih juga bersiaran di Ligakampung.com , Melakacool.com dan beberapa blog lain.
Oo ye, kadar kesihatan aku pada bulan April ni pun agak kurang baik. Lutut mengalami kesakitan sehingga menyebabkan terpaksa solat di kerusi. Selain itu perasaan makan juga telah berubah dan ada lagi perasaan tidak selesa di kerongkong.
Apapun, aku ada buat appointment pada bulan Mei nanti untuk pemeriksaan darah sekali lagi bagi melihat semula darah di Hospital Jasin. Samada akan bergantung pada ubat diabetes atau tidak, kena tunggu. Selain itu aku harap agar kolesterol juga berkurangan selepas beberapa aktiviti dilakukan pada bulan April ini.
Bulan April ini banyak perubahan yang perlu dihadapi. Berpindah ke opis baru adalah salah satu cabarannya.Tak perlu aku ceritakan sangat sebab nanti ada isu lain pula yang timbul. Cukup aku katakan ianya satu pengalaman yang memenatkan dan juga menambahkan sakit lutut ni.
Terus ke tajuk utama iaitu pergi ke Taman Buaya. Pada hari Sabtu lepas aku menunaikan janji kepada anakku untuk pergi ke Taman Buaya.Aku ada tulis artikel mengenai Taman Buaya di Melakacool tapi kat situ sedikit formal.
Kat blog ni aku tulis secara informal. Aku pergi dengan anakku ke Taman Buaya kira-kira jam 9.00 pagi. Perjalanan ke Taman Buaya tak berapa jauh. Kira-kira 20 minit dari rumahku. Untuk makluman korang, walaupun aku bermastautin di Melak tapi kali terakhir aku singgah di Taman Buaya ni tatkala aku masih belum masuk Universiti lagi. Jadi memang dah lama tak jejak kaki kat sini.
Bayaran hanya RM18 sahaja iaitu aku sahaja yang dikenakan bayaran manakala anakku , Fatih masuk free sebab belum berusia 5 tahun. Masuk-masuk je kena tahan oleh 2 orang awek. Eh, apsal pula ni? Hehehhe. Macam biasalah, kena ambil gambar paksarela. Si Fatih pula nak berdukung dan tak buat reaksi menarik. Tapi takpelah. Jalan-jalan terus tengok ada rusa yang dibela didalam Taman Buaya ni.
Memang besar juga rusa ni. Rasa macam nak bawa balik rumah je. Buat bela. Tapi nak bela itik pun takde lagikan bela rusakan? Berangan je la dulu.
Lepas tu nampak kawasan arnab pula. Boleh masuk pula tu. Apalagi dak Fatih pun kejar mengejar dengan arnab siap dia taburkan pasir kat arnab tu. Okay kat sini aku nak komen sikit pasal arnab ni. Banyak aku tengok bulu arnab yang tercabut dan agak kotor. Arnab ni kan putih jadi memang nampaklah perbezaannya. Tak pasti samada penjagaan atau memang arnab tu dah memang gitu. Mungkin pihak pengurusan boleh ambil perhatian kot..
Jalan sikit ke depan nampak pula burung unta (Ostrich). Dak Fatih tak berapa berani dan aku pun sedikit cuak nak bawa dia dekat dengan burung unta ni. Kang dia patuk jadi kerja pula kan. Jalan sikit ada tong biru ikan yang dibela. Aku dah lupa ikan apa. Tapi kebanyakan ikan hiasan. Tapi nampak tak berapa cantik sebab masuk dalam tong biru. Patut paling kurangpun masuklah dalam akuarium. Baru nampak class sikit.
Lepas tu dah nampak beberapa kolam yang dipenuhi dengan buaya. Dekat sini semakin kagumlah dak Fatih bila tengok buaya. Tapi buaya ni memang pasif. Kalau korang tengok macam patung je tak gerak-gerak. CUma kadang-kadang je dia gerak. Masa jalan-jalan ada terserempak dengan budak-budak sekolah dari Perak yang di guide oleh petugas Taman Buaya. Dekat situ adalah sedikit penerangan macam buaya dominan kat setiap kolam.
Buaya yang mempunyai sejarah keganasan dan macam-macam lagi. Lepas tu pergi pula tengok di bahagian atas dimana ada kura-kura serta ular yang dipamerkan juga di Taman Buaya ni. Sebelum nak tengok persembahan yang dijadualkan jam 11.00 pagi tu, singgah ke Monumen 1Malaysia dimana terdapat replika-replika monumen terkenal di Malaysia seperti A Famosa, Bangunan Putrajaya, KLCC, Jambatan Pulau Pinang, Bangunan Merah Melaka, Tugu Negara dan banyak lagi.
Sempatlah aku berselfie dengan si Fatih.
Masa yang dinantikan tiba. Jam menunjukkan masa pukul 11.00 pagi. Kami pun bergegas ke tapak persembahan. Persembahan pertama mengenai ular. Mula-mula ditunjukkan Ular yang tidak berbisa dan pastinya yang menarik adalah Ular Tedung Selar yang menjadi tontonan di akhir persembahan. Memang berani betul petugas tu. Ada beberapa ilmu juga yang aku dapat kutip macam Pokok Daun Tujuh Duri yang dicadangkan untuk ditanam di halaman rumah. Pokok ini bagus kerana boleh melambatkan bisa ular dari merebak dan juga dapat menyembuhkan sengatan seperti penyegat atau lebah.
Selain itu ada juga tips dimana sekiranya kita terkena bisa ular, jangan ikat pada kawasan sebaliknya andung ia. Petugas juga memberikan teknik sekiranya bertemu ular tedung dimana jangan lari ke depan sebaliknya melangkah perlahan-lahan ke belakang.
Banyak juga informasi yang diberikan seperti jenis ular yang patut dielakkan seperti ular orok-orok dan sebagainya. Rugi pula tak rakam/ tulis.
Lepas habis persembahan ular, kami pergi pula melihat pertunjukan buaya. Buaya tembaga menjadi tontonan. Agak ganas juga dan terdapat aksi berani yang dilakukan oleh petugas bernama Amir. Sebelum itu ada persembahan silap mata yang kurang menyegat pada pandangan aku.
Masa petugas buat persembahan buaya tu nampak betapa penatnya mereka nak menarik buaya tu. Buaya tu pun kadang-kadang agresif juga. Cuma yang tak best sebab Fatih dah mula tak fokus dan memain pula.
Habis persembahan buaya, kami melihat pula penerangan tentang makanan buaya. Taman Buaya menyiapkan sendiri ayam yang disembelih untuk buaya. Antara informasi yang dinyatakan ialah buaya hanya diberi makan sekali sahaja seminggu.Jadi takdelah terlalu banyak nak bagi makan .
Lepas je penerangan tu, petugas memberi peluang untuk bersama dengan anak buaya kecil. Aku ikutkan nak ambil gambar tapi sebab ramai sangat budak sekolah berkerumum ditambah siFatih yang tak berapa berani maka terus je cabut. Habis je tengok buaya kecil tu kami pun keluar.
Terasa lapar pula tapi kena beli dulu gambar yang diambil tadi. Aku ambil yang murah je. RM50 satu frame dan satu gambar 3R. Memang kalau ikutkan mahal dari harga luar tapi biasalah kan. Tempat pelancongan.
Keluar dari Taman Buaya terasa lapar pula. Memandangkan isteri yang bekerja pesan McDOnald maka aku pun tapaulah. Kalau ikutkan nak makan nasi je kat kawasan MITC tu. Sekarang ni banyak makanan best kat MITC tu cam Restoran Ikan Bakar Malim, Restoran Zahrain, Desa Batu dan lain-lain lagi.
Memandangkan aku cuba mengelakkan dari beli daging dan nak kurangkan daging proses maka aku layan je bubur McDonald dan bawa balik McChicken untuk isteri.
Okay, itulah cerita serba sedikit aktiviti aku di Taman Buaya. Secara peribadi aku merasakan RM18 tu berbaloi. Korang apa lagi? Kalau pergi Melaka jangan lupa singgah Taman Buaya tau.
p/s :- Sekarang ni aku terberjanji pula nak bawa anak naik Keretapi. Dah dia asyik sebut nak naik keretapi pula. Bukan tak nak bawa tapi jadual Keretapi kat stesen Batang Melaka dan Tampin tak berapa kena pula. Nanti tengoklah.
waaaaa.. bestnya !! dah lama tak singgah melaka.. tapi tu la.. taman buaya ni nampak macam sama dari dulu.. tak banyak pokok, panas.. kesian bawak anak2 berpanas..
pergi pagi-pagi ok sikit kot.. memang panas sikit..
Pernah datang ke sini, geli sikit dengan ular.
hehehe. tak boleh lah datang kalau geli