Minggu ini ada 2 projek yang aku sasarkan untuk berjaya iaitu untuk membina satu startup dan menyertai acara larian buat kali pertama. Tapi macam biasa dalam setiap artikel blog ini akan jadi panjang sebab ada penambahan aktiviti lain selain dari tajuk utama.
Mula-mula cerita pasal perancangan ‘Startup’. Apa itu ‘startup’ ? Ketika aku Google ‘Apa Itu Startup’ page pertama dan kedua banyak keputusan pergi ke page Indonesia. Aku kurang faham jadi aku ikut makna ‘startup’ dalam laman web Forbes.com.

Kalau ikutkan makna ‘startup’ yang ditulis dalam laman Forbes.com tu dinyatakan bahawa perkataan ‘startup’ itu menjadi popular pada pembangun aplikasi dan syarikat teknologi besar di San Francisco. Banyak definisi yang diberikan tapi mengikut kefahaman Aku yang cetek ni ‘Startup’ adalah sebuah syarikat baru dan kecil yang membangunkan applikasi, sistem atau benda-benda berkaitan teknologi IT.
Betul ke? Aku tak tau samada betul atau tidak, tapi setakat ini, tulah pemahaman aku. Kalau salah tolong betulkan ye. Dekat Malaysia ni banyak STARTUP, ada yang berjaya dan ada juga yang KANTOI. Malas pula aku nak senaraikan kat sini, korang cari-carilah sendiri. Tapi antara yang gempak mungkin TheVocket.com tu yang boleh dijadikan contoh.

Kalau korang pernah baca entri pasal Perancangan untuk Projek Sistem, mungkin mengetahui bahawa projek yang ada dalam kepala aku adalah berkenaan dengan ‘Sistem Penyewaan Rumah’. Ada market ke? Itu antara soalan yang boleh ditanyakan. Yup, pada pandangan aku, ada market dalam Sistem tersebut.
Kan ada pesaing macam Mudah.My,IBilik,BNB dan sebagainya. Nampak macam serupa, tapi sebenarnya dalam kepala aku,ideanya berbeza dari website yang dinyatakan. Website dan app yang berada dalam fikiran aku ini bukan sekadar hanya mencari rumah dan penyewa sahaja tapi terlibat juga dengan pengurusan rumah terbabit?

tentant-system
Aku tak boleh nak cerita lanjut tentang keseluruhan idea untuk sistem tersebut kerana ia adalah ‘PNC’. Lagipun aku baru je berbincang dengan pembangun sistem dan nampaknya mereka agak berminat dengan idea ini. Apa yang perlu aku lakukan seterusnya?

1) Mengumpul maklumat dan idea yang boleh menguatkan lagi sistem ini.
2) Kenapa sistem ini diperlukan? Apa masalah yang berlaku sekarang sehingga sistem ini diperlukan? Dalam kepala, telah tertulis apa masalah dan penyelesaian melalui sistem ini. Idea-idea juga telah dikumpul bersama dengan pembangun sistem tersebut.
3) Kerjasama. Ini adalah cabaran yang perlu diperhalusi. Kerjasama kadang-kadang boleh menJAHANAMkan kita. Namun untuk melakukan sorang-sorang adalah amat mustahil. Aku tiada skill dalam bidang ‘programming’ samada sistem website atau app. Untuk mengupah orang membuat juga memerlukan ribuan ringgit dan pasti tidak cukup sekadar membuat. Perlu menggaji programmer hebat untuk menyambung projek tersebut. Memandangkan modal juga tak berapa sen, aku memerlukan kerjasama dengan mereka.
Aku kena bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mungkin juga perlu ada perjanjian usahasama sekiranya ia berjalan.
4) Mencari modal. Aku diberitahu bahawa startup sebegini ada ‘grant’ dari MDEC. Aku perlu mencari sebaik mungkin. Dengan grant tersebut, pasti membolehkan aku melaksanakan projek ini dengan lebih tenang.
5) Timeline projek. Aku tidak mengharapkan ia siap dalam tahun ini. Aku menjangkakan ia boleh berfungsi samada hujung 2016 ataupun awal 2017. Aku perlu realistik kerana pembangun sistem ini juga mempunyai projek mereka yang perlu didahulukan. Lagipun, aku juga bekerja makan gaji di sektor awam, pasti tumpuan utama adalah pada kerja hakiki berbanding ‘STARTUP‘ ni.
6) Proposal. Aku sedang berusaha untuk menyiapkan proposal. Aku sedang berbincang untuk berhubung dengan salah seorang saudaraku untuk mencari modal. Namun kena ada proposal yang KUKUH baru boleh nak mohon ‘geran’ atau sebarang bantuan kewangan. Nak minta kat ‘Shark Tank’ jauh beno pula.

Aku memang mengharapkan agar ‘STARTUP‘ ini menjadi projek yang berjaya dihasilkan dengan baik. Bukan seperti projek-projek sebelum ini yang hanya GAH di Permulaan, tersangkut di Tengah Jalan. Harap-harap korang pun boleh doa-doakan sekali. Mana tau kalau berjaya, bolehlah aku tawarkan saham projek aku kat korang ni. Hehehehe.
Selain dari projek SISTEM SEWAAN RUMAH ni aku ada juga idea untuk projek ‘SISTEM AGIHAN DAGING KORBAN‘. Walaupun dikritik dalam satu page programming, namun aku rasa ia boleh dilaksanakan terutama pada Generasi Y. Kalau nak harapkan cikgu pencen yang jalan, memang tak boleh. Mungkin kalau mampu, projek sistem agihan korban tu lebih kepada projek bukan nak cari Untung. Mungkin lebih kepada amal jariah. Itupun kalau ada kemampuan. Kalau korang ada kawan-kawan kaki programming yang nak buat portfolio aku cadangkan agar boleh hubungi aku untuk buat projek ni. Hubungi je kat zzarizi [at] gmail.com.

Ok, mungkin ada yang pening baca pasal Projek aku tu kan. Ini pula cerita yang SANTAI pula. Hari ni satu lagi projek menjadi. Aku BERJAYA menyertai program larian di Hutan Rekreasi Ayer Keroh. Program anjuran JCI Malacca City Entrepreneur diadakan pada 4 Oktober 2015 jam 7.00 pagi. Aku masuk kategori 5 kilometer iaitu ‘Fun Run’. Aku sampai jam 6.40 pagi. Mula-mula risau juga sebab sekarang ni jerebu di Malaysia, dan banyak program sukan dibatalkan. Tadi tidak bagi projek ini. Sesampainya aku, telah hampir ratusan orang berada di kawasan permulaan tersebut.

jci-malacca-charity-eco-run-2015
Berada dalam kelompok ni , Tapi aku pun tak nampak mana satu

Aku datang seorang dan tak reti nak campur sangat sebab lebih ramai peserta berbangsa Cina. Almaklumlah, bahasa Mandarin yang ku belajar kat UiTM dulu hanya basic jadi tak pandai nak berbicara. Hanya mampu menengok kiri kanan sahaja. Bermula jam 7.00 pagi, kami diiringi dengan senaman ringkas (tapi tak ringkas) oleh penari manantah. Memang berpeluh juga nak mengikut rentak diorang yang laju tu. Diorang kat atas pun nampak ada yang dah mengah lagikan kita kat bawah ni. Hahahahah.
Bermula jam 7.46 pagi (ikut jam aku) kategori aku dilepaskan. Memang agak mencabar juga perjalanan 5.14 kilometer ini. Permulaannya memang sedikit susah kerana dilepaskan beramai-ramai dikawasan yang agak sempit. Nak memulakan larian juga agak terbatas tapi mampu juga kuharungi dengan kepayahan. Hehehehe. Memang laluan agak mencabar kerana ada beberapa laluan mendaki yang cukup tinggi bagi pelari amatur sepertiku. Apatah lagi dengan keadaan jerebu menyesakkan juga nafas untuk meneruskan larian. Tapi kutabahkan jua. Malahan, kurasakan banyak sungguh keadaan ku berjalan berbanding ku berlari. Ku ambil 2 air mineral dari 4 checkpoint. Cuma yang sedih bila ada yang buang air mineral tu kat tepi hutan.
Sedangkan sepatutnya ini adalah ‘Eco Challenge‘ dan mereka patut sedar untuk mengelakkan pencemaran alam. Tapi aku hanya mampu memandang je. Mungkin penganjur perlu sedia check point lebih banyak untuk diorang mudah buang air mineral tu.

Alhamdulillah, larian ini berjaya kutempuh. Aku berjaya menamatkan jarak 5.14 kilometer dalam jangkamasa 47:54 minit. Satu angka yag baik bagi permulaan menyertai program larian ni. Mungkin kena usaha lebih dan tak mustahil kalau tahun depan aku ‘upgrade’ dari kategori ‘Fun Run’ ke kategori ‘Terbuka’. Dimana jarak untuk terbuka adalah 10kilometer. Tapi itu sasaran, kalau nak mencapainya aku kena selalu berlatih bermula sekarang. Tapi memandangkan JEREBU hebat, maka mungkin kena tunggu juga jerebu tu hilang dulu. Aku dapat medal dimana kesemua peserta yang menamatkan larian dengan SEMPURNA menerimanya. Kira bangga juga sebab ini adalah medal pertama dalam hidupku. Tak pernah aku menerima sebarang MEDAL. Almaklumlah aku bukan atlet. Yang ada aku ikut-ikut budak main futsal pun selalu kandas je.

Ambil gambar kat rumah je. Kat lokasi takde siapa nak ambilkan
Ambil gambar kat rumah je. Kat lokasi takde siapa nak ambilkan

Sekurang-kurangnya ada juga benda nak tengok bila tua nanti.Hehehehe. Bila tengok program larian ni, terfikir juga kenapa ia tidak dianjurkan oleh KITA. Kalau ikutkan yuran peserta memang tak berapa nak cukup tapi pihak penganjur bijak dengan memanggil penaja untuk menyertai program ini. Jadi dapatlah mereka anjurkan program larian ini. Kalau aku ada kemampuan, mungkin satu hari nak buat juga program larian sebegini. Walaupun tak mudah tapi boleh dilakukan dan boleh dapat sesuatu. Mungkin keuntungan tu no 2 tapi kredibiliti dan brand boleh diperkenalkan secara tak langsung. Harap-harap projek STARTUP berjaya dan bolehlah Aku buat projek camni pula.

Okay, ada tambahan lagi. Minggu ini juga aircond kereta MyVi ku telah diperbaiki. Kena ganti compressor dan servis sikit. Terbang juga RM680.00. Memang bulan ni merenung juga poket. Walaupun ada Adsense masuk beberapa minggu lepas tapi keluar lebih dari tu. Takpelah, inilah namanya kehidupan kan. Kadang-kadang kita dah buat bajet sebaik mungkin namun ada ketentuan dariNya.
Sekian.

13 Replies to “Projek Startup: Satu Permulaan, Berjaya tamatkan larian pertama”

  1. terbaik.

    bukan senang tu nak habiskan 5 kilometer.

    memang biasa aku masuk yang 10 kilometer ke atas.

    so far, tahniah. 5 kilometer tu boleh tahan sebenarnya jauhnya.

    1. tahun depan aku target nak try masuk event lain.. dalam 2 tahun nak cuba pula 10 Km terbuka..
      lagi 3 tahun boleh masuk kategori veteran. hehehe

  2. kalau aku tak pasti sekarang berapa kilo boleh pergi jauh… last masa sekolah jer… 15km.. tapi lepas tuh.. badan sakit2… kaki pun sakit… yerla tak stretching dengan betul… huhu

Leave a Reply to Noriza Rahman Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.